Pasca PRK Nenggiri: Rakyat Semakin Yakin, Keputusan Positif Buat UMNO/BN – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Exco Wanita UMNO, Dr Masliha Harun menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasionan (BN), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai ‘Awie’ adalah satu keputusan yang positif bagi parti ini.

Menurutnya, sememangnya DUN Nenggiri merupakan kawasan kubu kuat BN maka kejayaan dalam misis merampas kembali sekaligus membuktikan kemenangan dengan majoriti besar membangkitkan semangat kepada penyokong BN.

“DUN Nenggiri sememangnya dari awal adalah milik BN. Menang dengan majoriti besar pada PRK ini menunjukkan rakyat Nenggiri kembali menyokong parti ini.

“Pemimpin yang dipilih dipercayai menjadi penghubung dengan Kerajaan Pusat dan membuatkan rakyat lebih yakin dengan pembangunan masa depan di DUN Nenggiri.

“Dengan kemenangan ini BN akan memastikan bahawa segala aspirasi dan keperluan rakyat Nenggiri diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya.

Dr. Masliha berkata bahawa kemenangan Awie membuktikan rakyat Nenggiri menolak budaya politik yang penuh dengan cercaan dan fitnah.

“Ramai ahli Bersatu yang keluar parti kerana mula tidak mempercayai Pas, ditambah dengan kempen Tan Sri Anuar Musa yang setiap hari menyemai politik kebencian, telah menyebabkan ramai rakyat Nenggiri memilih BN yang jelas membawa politik matang serta naratif yang lebih rasional dan membina.

“Kemenangan Awie menunjukkan bahawa rakyat sudah bosan dengan cara kempen yang berasaskan maki hamun. Pengundi kini lebih bijak menilai perkembangan di sekeliling mereka.

“Rakyat hari ini tidak seperti dahulu; dengan maklumat di hujung jari, tidak perlu memburuk-burukkan sesiapa, sebaliknya cukup dengan memberi penerangan mengenai apa yang BN akan lakukan,” katanya.

Tambah Dr Masliha, ini jauh berbeza pendekatan BN yang menolak budaya politik kotor, yang memfitnah, mencerca ataupun memaki hamun.

“Pendekatan jentera BN bertungkus-lumus dan berjaya memenangkan calon kerajaan perpaduan dan bukannya memfitnah, mencerca dan sebagainya sekaligus membuktikan kesepakatan, usaha dan kegigihan akar umbi telah membuahkan hasil,” ujarnya.

Pada PRK yang berlangsung Sabtu, calon BN, Mohd Azmawi Fikri yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan mendapat majoriti sebanyak 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Awie memperoleh undian sebanyak 9,091 manakala bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang memperoleh 5,739 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit