Kenyataan Kontroversi Muhyiddin Di Nenggiri Demi Kepentingan Politik Peribadi – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Kenyataan kontroversi Tan Sri Muhyiddin Yassin pada ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri disifatkan semata-mata mahu memenangi hati pengundi demi kepentingan politik peribadi.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata Muhyiddin seakan mahu mengundang pelbagai reaksi negatif terhadap kebijaksanaan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Ke-16.

“Sorotan dari kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan peranan yang dimainkan oleh YDPA ke-16 sewaktu melantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 mengundang pelbagai reaksi negatif terhadap kebijaksanaan YDPA dalam memilih pemimpin negara.

“Kenyataan tersebut yang telah dilontarkan sewaktu berkempen di PRK Nenggiri baru baru ini, tidak sepatutnya dijadikan bahan kempen semata-mata mahu memenangi hati pengundi demi kepentingan politik peribadi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau turut berkata meluahkan kekesalan dan amat kecewa dengan keterlanjuran yang telah dikeluarkan seolah-olah cuba untuk mencemarkan kemuliaan institusi diraja dengan politik kotor yang tidak berkesudahan.

Nurul Amal malah menyeru pemimpin politik untuk sentiasa menjaga 3R iaitu raja, agama dan kaum demi keharmonian negara.

“Setiap ahli politik diingatkan sekali lagi untuk kekal menjaga keharmonian negara dan bangsa serta tidak menjadikan isu 3R sebagai hujah utama dalam Pilihan Raya Kecil, Pilihan Raya Umum mahupun PRU.

“Puteri UMNO Malaysia menjunjung kasih diatas titah tegas yang dikeluarkan oleh KDPM Tengku Mahkota Pahang, agar mengambil tindakan tegas supaya perkara sebegini rupa tidak akan berulang lagi,” katanya lagi.

Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.