Kemenangan Di Nenggiri Jadi Momentum Pembakar Semangat UMNO/BN Sabah – Jeffery Nor

PUTATAN, 20 Ogos – Obor atau momentum kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Kelantan bakal dibawa oleh UMNO/BN Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang.

Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata, kejayaan di PRK Nenggiri akan membawa imej positif kepada UMNO khususnya di Sabah yang bakal berhadapan dengan PRN paling lewat seawal tahun depan.

“Kemenangan calon BN di PRK Nenggiri ini membuktikan parti ini mampu pulih dan bangkit selepas proses pembersihan dalaman dilakukan sebelum ini termasuk di Sabah,” katanya ketika diminta mengulas kemenangan calon BN PRK DUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Mohd Azmawi memperoleh 9,091 undi menewaskan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail yang mendapat 5,739 undi.

Menurut Jeffery yang turut bersama dalam kempen di DUN Nenggiri, kemenangan BN ini berdasarkan beberapa faktor antaranya kegagalan kerajaan negeri yang diterajui oleh Pas membangunkan Kelantan khususnya di kawasan Nenggiri yang berhadapan dengan kekurangan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, peluang pekerjaan dan ekonomi masyarakat setempat selain BN turut menampilkan calon muda dan strategi yang berkesan semasa berkempen.

Jeffery berkata kejayaan UMNO/BN di Nenggiri sudah tentu memberikan aura positif kepada ahli-ahli parti apatah lagi dalam konteks UMNO Sabah yang dicemuh oleh pihak lawan dengan pelbagai propaganda termasuk sentimen anti parti Malaya walaupun UMNO sudah bertapak lebih 33 tahun di negeri ini.

“Apa pun isu-isu yang dibangkitkan bagi menghalang keberadaan UMNO dalam persada politik di negeri ini, ia tidak cukup untuk mempengaruhi pemikiran ahli dan rakyat Sabah yang lebih prihatin dengan isu pratikal seperti tadbir urus dan pembangunan terutamanya infrastruktur asas yang gagal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Sabah hari ini,” katanya.

Menurutnya, sikap sebilangan pemimpin pihak lawan yang gagal memberikan naratif secara fakta dan data, sebaliknya terus memainkan retorik, sentimen bangsa, sentimen kenegerian sudah tentu tidak akan memberikan kesan mendalam terhadap perjuangan UMNO/BN di negeri Sabah.

“Hakikatnya Nenggiri dan Sabah itu berbeza tetapi momentum UMNO/BN Kelantan boleh dibawa ke Sabah dalam strategi yang berbeza bagi menghadapi PRN akan datang,” jelasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit