Jangan Jadi Pemimpin Sentrik, UMNO Siswa Perlu Bawa Suara Anak Muda – Dr Akmal

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berpandangan UMNO Siswa perlu memanfaatkan platform mereka untuk membawa suara mahasiswa dan bukannya suara pemimpin.

Menurut beliau ia penting untuk menjadikan UMNO Siswa relevan menerusi idea-idea membina bagi manfaat mahasiswa di seluruh negara.

“Paling penting sekali jangan bawa suara pemimpin sebaliknya bawa suara siswa… jangan takut nak bawa, jangan takut jika menteri marah. Peduli apa kita bawa sajalah suara UMNO Siswa ini kalau nak jadi pemimpin mahasiswa, jangan sesekali takut bawa suara mereka jangan jadi pemimpin sentrik.

“Kita nak pastikan UMNO Siswa ini relevan di hati setiap mahasiswa dalam negara bawa isu walaupun isu itu tak sama dengan kerajaan, tak apa bawa selagi kamu rasa itu betul, di tambah dengan suara majoriti jangan takut berkata benar.

“Kalau jadi pemimpin tetapi hanya dicucuk hidung, tak payah jadi pemimpin kerana pemimpin ini diangkat oleh kebanyakan orang tapi kalau kita diangkat jadi pemimpin tetapi tak bawa suara kebanyakan mereka ini, maka kamu bukan pemimpin.

“Sekiranya UMNO buat polisi yang tidak menguntungkan mahasiswa, UMNO Siswa beritahu pemimpin… jangan jadi yes bos,” katanya.

Muhamad Akmal berkata demikian pada Persidangan Mahasiswa UMNO (PMU) 2024 bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Menteri Pengajian Tinggi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata UMNO pada masa kini sudah terbuka menerima pemimpin muda yang berpotensi sebagai pemimpin pelapis dalam memberikan aspirasi perjuangan mereka kepada rakyat.

Kata Muhamad Akmal lagi, UMNO Siswa juga perlu lebih versatil sebagai kekuatan dalam menempuhi cabaran politik yang dinamik pada masa kini.

“UMNO sekarang ini sudah terbuka menerima sesiapa sahaja jika kamu rasa bagus dan orang percaya kamu maka anda boleh menjadi pimpinan, kerana parti ini sudah tidak ada seperti dulu. Mungkin selepas ini adik-adik mahasiswa akan menerajui pimpinan Pemuda.

“Parti ini memberi peluang tetapi apakah ketahanan kamu untuk berada dalam politik? Jika benar-benar hebat, bertahan selamat datang ke arena politik. Maksudnya adik-adik, hari ini politik jauh lebih hebat dan jauh lebih sukar jadi kita memerlukan orang yang benar-benar kental untuk duduk dalam politik ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit