Azalina Alukan Kehadiran Perwakilan Parti, PAU 2024 Beri Makna Cukup Besar

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said mengalu-alukan kehadiran para perwakilan dari seluruh negara yang bakal berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula esok bagi menjayakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024.

Beliau yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata, persidangan kali ini tentunya memberi makna yang cukup besar apatah lagi UMNO/Barisan Nasional (BN) baru sahaja mencapai kejayaan mengembalikan kerusi DUN Nenggiri melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu lalu.

“Tentu cerita berkaitan kemenangan dan kejayaan merampas kembali DUN Nenggiri akan menjadi suntikan semangat kepada anggota parti lantas sama-sama kita menanamkan tekad untuk kembali bangkit meneruskan perjuangan masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, kebersamaan dalam PAU2024 kali ini juga dilaksanakan dalam bulan kemerdekaan yang amat sinonim dengan perjuangan UMNO.

“Marilah kita semarakkan semangat nasionalisme sempena bulan kemerdekaan dengan menghayati perjuangan lampau para pemimpin UMNO. Pejuang-pejuang dahulu mempelopori gerakan bersatu dengan menubuhkan UMNO bagi menentang penjajah lantas tanah air kita merdeka.

“Semoga dengan kejayaan dan semangat kemenangan akan terus subur dalam diri kita demi perjuangan agama, bangsa dan negara. Selamat bersidang para perwakilan sekalian,” katanya lagi.

Dilaporkan, PAU 2024 akan diadakan pada 21 hingga 24 Ogos dengan pelbagai pengisian yang dimulakan oleh Penerangan UMNO Malaysia melalui sesi ‘PenTalk’ sebelum Taklimat Presiden berlangsung pada sebelah petang dan menyusul kemudiannya perasmian sayap-sayap UMNO.

Persidangan ini bakal melibatkan seramai 6,433 perwakilan dari seluruh negara iaitu diadakan seusai mesyuarat UMNO peringkat bahagian yang telah berlangsung dalam tempoh 21 Jun hingga 29 Julai lepas. Sebelum itu, mesyuarat peringkat Cawangan UMNO diadakan bermula 22 April hingga 2 Jun – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.