Aplikasi Gerak Kerja 4S Depani Cabaran Politik Baharu Serba Dinamik – Noraini

AMPANG, 20 Ogos – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengajak seluruh jentera Wanita UMNO mengaplikasi 4S iaitu speed (kelajuan), scope (skop), scale (skala) dan simultaneity (serentak).

Menurut beliau elemen tersebut akan memberikan impak lebih khusus kepada gerak kerja Wanita dalam mendepani cabaran politik baharu yang semakin dinamik.

Kelajuan dalam memberikan tindak balas memainkan elemen penting yang berupaya memberikan kesan yang lebih kepada khalayak sasaran.

“Perubahan berlaku dengan sangat pantas keupayaan untuk bertindak balas dengan cepat menjadi sangat penting.

“Jentera Wanita UMNO perlu bersedia untuk membuat keputusan dalam tempoh yang singkat dan menyesuaikan diri dengan perubahan secara serta merta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Kursus Pemantapan Jentera Wanita Luar Biasa di Grand Barakah Hotel, di sini.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim dan kepimpinan lain.

Manakala skop meliputi isu-isu yang pelbagai mengikut target kelompok wanita yang tertentu bagi memastikan mereka mampu memahami sesuatu konteks yang ingin disampaikan.

“Isu-isu yang berlaku mempunyai skop yang luas, sering kali bersifat global dan melibatkan banyak pihak berkepentingan. Isu-isu ini memerlukan pendekatan yang komprehensif dan holistik dari Wanita UMNO dengan kerjasama dari pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.

“Manakala skala perubahan atau impak sesuatu peristiwa boleh menjadi sangat besar, menjejaskan populasi yang besar atau kawasan geografi yang luas. Oleh itu sebarang tindakan atau kenyataan dari wanita UMNO perlu dirancang dengan mempertimbangkan skala potensi kesan positif atau negatif.

Serentak perlu membawa maksud kita perlu berhadapan dengan pelbagai isu pada masa yang sama, dan semuanya mempunyai kesan yang saling berkait. Inilah ujian terbesar jentera Wanita UMNO, saya yakin anda semua wanita luar biasa berkeupayaan untuk mengurus pelbagai krisis atau cabaran secara serentak,” ujar beliau.

Tambah beliau keupayaan Wanita UMNO memahami elemen 4S dalam merangka setiap gerak kerja jentera wanita UMNO akan menjadikan langkah lebih berimpak dan berkesan untuk menavigasi gerak kerja wanita yang penuh cabaran. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.