UMNO Putrajaya Gesa Muhyiddin Buat Permohonan Maaf Secara Terbuka
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – UMNO Bahagian Putrajaya menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera memohon maaf dan menyatakan kekhilafan atas ketelanjuran tutur kata ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang lalu.
Ketua Penerangannya, Tengku Muhammed Hafiz Tengku Adnan berkata, sebagai bekas Perdana Menteri, Muhyiddin seharusnya lebih faham bahawa Raja-Raja Melayu adalah simbol perpaduan, keharmonian dan kestabilan negara.
“Dengan rasa penuh kekesalan dan kekecewaan yang mendalam di atas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang jelas menghina Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, tindakan Muhyiddin ini jelas bertentangan dengan semangat Rukun Negara yang setiap hari dilafazkan oleh sekalian rakyat jelata.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak harus mengheret institusi Raja-Raja ke dalam sentimen sempit demi meraih sokongan dan kuasa semata-mata.
“Sebagai bekas Perdana Menteri, beliau sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik, bukannya memecah-belahkan perpaduan rakyat dan mencetuskan ketegangan dengan mengeluarkan kenyataan yang tiada asas dan berunsur menghina.”
Justeru katanya, sebagai bekas Perdana Menteri Muhyiddin sebaiknya menyesali kesilapan beliau dan segera menyatakan permohonan maaf secara terbuka.
“Namun yang demikian, saya juga berharap agar pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada agar menjadi tauladan dan pengajaran kepada sesiapa sahaja agar tidak mengheret institusi di-Raja ke dalam kancah politik. Daulat Tuanku,” katanya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan menyentuh kewibawaan serta mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16. – UMNO Online