Puteri UMNO Akan Lantik Wakil UMNO Siswa Sebagai Exco – Nurul Amal

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan melantik seorang wakil daripada UMNO Siswa sebagai exco sayap tersebut.

Menurut ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi ia bagi memastikan aspirasi mahasiswa dapat diketengahkan melalui platform Puteri UMNO.

“Kepada semua perwakilan mahasiswa anda yang akan mewarisi kami di Puteri UMNO.

“Jadi saya ingin maklumkan akan ada pelantikan wakil UMNO Siswa sebagai Exco Puteri Malaysia,” katanya.

Nurul Amal berkata demikian pada Persidangan Mahasiswa UMNO (PMU) 2024 bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Menteri Pengajian Tinggi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau dalam pada itu berpandangan UMNO Siswa sebagai duta kampus dalam membawa suara anak muda ke peringkat lebih tinggi.

Ujar Nurul Amal sebagai mahasiswa, mereka mempunyai peranan yang besar dalam kampus bukan sahaja perlu cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga perlu aktif dalam aktiviti sosial dan politik.

Ini kerana menurut beliau sejarah telah menunjukkan bahawa mahasiswa sering kali menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam masyarakat sebagai contoh, gerakan mahasiswa pada tahun 1960-an dan 1970-an yang memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan sosial.

“Mahasiswa yang mempunyai nilai intelektual boleh menjadi jambatan efektif antara parti dan rakan kampus. Kita perlu memastikan bahawa golongan sasar sentiasa berkomunikasi dengan masyarakat.

“Kita juga perlu mendengar, dan memahami isu-isu yang dihadapi oleh rakan kampus, dan menyuarakan perihal berkenaan, kepada pihak yang berkaitan.

“Komunikasi dua hala ini adalah penting untuk memastikan bahawa suara mahasiswa didengar dan diambil kira dalam proses membuat keputusan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata UMNO Siswa sebagai perantara yang baik bagi di antara anak muda serta kerajaan dengan menfaatkan medium tersebut bagi menyuarakan pendapat demi perubahan zaman.

“Mahasiswa juga mempunyai tanggungjawab untuk menyuarakan isu-isu anak muda, dengan integriti dan etika yang tinggi. Anda perlu pastikan bahawa anda memahami kehendak anak muda.

“Integriti dan etika adalah asas kepada kepercayaan golongan muda terhadap kita, sebagai penghubung antara mereka dan parti,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit