PRK: Rakyat Nenggiri Bijak Tolak Politik Hasutan, Fitnah Dimainkan PN

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Sabtu membuktikan bahawa rakyat di kawasan tersebut bijak menolak politik hasutan dan fitnah yang dimainkan oleh Pas/Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ia juga menjadi petanda kepada gelombang kemarahan rakyat terhadap kelemahan pentadbiran Kerajaan PN di negeri tersebut.

“Alhamdulillah syukur dipanjatkan kepada Allah SWT kerana telah memberi kemenangan kepada calon BN, Mohd Azmawi Fikri yang mewakili Kerajaan Perpaduan di DUN Nenggiri. Ia merupakan hadiah kepada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang tidak pernah meminggirkan rakyat di luar bandar.

“Gelombang kemarahan rakyat terhadap kelemahan pentadbiran kerajaan negeri telah bermula di Nenggiri ini. Ibarat ‘hujan lebat di hulu akan membanjiri ke seluruh pelusuk Kelantan’.

“BN menang kerana gelombang anak muda dan pengundi luar telah kembali memberi sokongan dan bersyukur terhadap segala pembangunan yang diterima daripada Kerajaan Pusat selama ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, kemenangan UMNO/BN pada PRK tersebut turut memberi referendum kepada Kerajaan Pas untuk berhenti menjarah hutan balak di kawasan Hulu Kelantan tanpa menghiraukan kesan buruk daripadanya.

“Rakyat Nenggiri telah memberi referendum kepada Kerajaan Pas bahawa cukup-cukuplah menarah hutan balak dengan rakusnya dan menjadikan kawasan Hulu Kelantan sebagai mesin cetak duit kepada pemimpin mereka tanpa menghiraukan kesan buruk yang diterima.

“Rakyat Nenggiri bijak menolak politik hasutan dan fitnah yang dimainkan oleh Takiyuddin dan Annuar Musa sepanjang kempen tanpa menyentuh langsung cadangan penyelesaian terhadap masalah kemudahan asas air bersih dan permohonan tanah yang dihadapi oleh rakyat di sana.

“Tahniah kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub yang bijak mengatur strategi dengan tepat dan kena pada masanya. Beliau sentiasa fokus, tidak emosi, tenang dan teliti dalam setiap gerakan mematahkan serangan fitnah musuh di setiap sudut. Terima kasih kepada seluruh jentera UMNO/BN dan parti Kerajaan Perpaduan dari seluruh negara yang banyak membantu,” katanya lagi.

Pada Sabtu malam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang mengesahkan BN menang PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN yang meraih 5,739 undi.

BN berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri dan buat pertama kali kerusi penyandang bertukar tangan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.