PRK Nenggiri: Isyarat Jelas Rakyat Kelantan Sudah Bosan Dengan Politik Penipuan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri merupakan isyarat jelas bahawa rakyat Kelantan sudah bosan dengan politik penipuan yang dibawa oleh Pas/Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada PRK tersebut bukanlah untuk dimegah-megah namun untuk disyukuri.

“Kemenangan diluar dugaan calon UMNO/BN pada PRK Nenggiri bukan untuk dimegah-megah tetapi untuk disyukuri. Allah telah memberi peluang kali kedua kepada pengundi Nenggiri untuk membetulkan kesilapan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

“Kebijaksanaan pengundi Nenggiri terbukti apabila mereka memilih calon UMNO/BN. Mereka tahu membezakan di antara kaca dan intan.

“Pengundi Nenggiri juga telah memberi isyarat jelas kepada seluruh rakyat Kelantan bahawa mereka sudah bosan dengan politik penipuan, pembohongan dan maki hamun Pas yang menunggang Islam bagi memperbodohkan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ujarnya, beliau yakin bahawa gelombang biru yang melanda Nenggiri akan menjadi tsunami pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak dan Negeri Kelantan mesti diselamatkan demi masa depan mereka.

“Mereka juga telah sedar selama 38 tahun diperintah Pas, mereka hanya menjadi pertaruhan untuk pemimpin Pas mendapat kuasa dan kesenangan. Sedangkan rakyat hidup dihimpit kemiskinan dan kesusahan.

“Tanah digadai kepada orang asing dan bukan Melayu sedangkan rakyat Kelantan yang perlukan tanah melopong. Kera dihutan disusukan anak diriba mati kehausan.

“Veteran UMNO yakin gelombang biru yang melanda Nenggiri akan menjadi tsunami pada PRU ke-16 nanti. Kelantan mesti diselamatkan dari kaum Khawarij demi masa depan generasi bangsa Kelantan,” katanya.

Pada Sabtu UMNO Online melaporkan Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri pada PRK yang berlangsung.

Calon UMNO/BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mendapat undi 8,494 mengalahkan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili PN dengan 5,111 undi. Beliau menang dengan majoriti  3,383 undi.

BN berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri dan buat pertama kali kerusi penyandang bertukar tangan selepas PRU dan PRN yang lalu.

PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh PPBM pada 13 Jun.

Pada PRN lalu, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit