PMU 2024: Generasi Muda Akan Bangkit, Beri Dukungan Kepada UMNO – Zambry

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yakin dengan semangat yang ditunjukkan oleh UMNOSiswa, generasi muda akan bangkit secara keseluruhannya dan memberikan dukungan kepada parti.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, Persidangan Mahasiswa UMNO (PMU) 2024 dianjurkan untuk melahirkan pelapis kepimpinan parti pada masa akan datang.

“Hari ini adalah hari yang bersejarah kepada kita semua. Kenapa saya berkata sedemikian? Kerana inilah pertama kali kita mengadakan perhimpunan sebegini… perhimpunan Persidangan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) dalam bentuk seperti ini.

“Kita belum ada program seumpama ini… saudara-saudari berkumpul dan kita berbicara, berdebat, ada wakil daripada setiap universiti, dari pagi hingga ke saat ini. Sebab apa kita anjurkan program seperti ini? Kerana kita ingin melahirkan pemimpin-pemimpin baharu dalam parti yang kita dukung dan cintai ini.

“Saudara-saudarilah yang akan mencorakkan masa depan kita dan siapa yang mengikuti program ‘i-future’ sepanjang tiga hari lalu, saya sebutkan bahawa it is not about creating a future leader but we are creating out new, young leaders right now. This is your time. Masa untuk memberitahu kepada anak-anak muda bahawa untuk menunggu is no more. Ini adalah masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Penutup PMU 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), sebentar tadi.

Menurutnya, beliau ingin melihat generasi baharu bangun dan menjadi seorang pemimpin hebat berdasarkan kepada tradisi parti.

“Sebab itu saya ingin melihat generasi baharu bangun menjadi pemimpin yang hebat dan itulah tradisi UMNO. Ini adalah parti yang melahirkan para pemimpin. Apa pun yang orang di luar sana cakap dan buat penilaian kepada kita.

“…termasuk mereka yang pernah makan, bangun dan naik daripada rumah UMNO. Walaupun mereka yang berada di parti-parti lain pada hari ini, cuba lihat latar belakang mereka. DNA mereka daripada mana? Termasuk DNA Perdana Menteri pada hari ini. Sudah semestinya daripada UMNO.

“Saya yakin dengan semangat baru yang ditunjukkan oleh pemuda, pemudi UMNOSiswa ini, generasi muda akan bangun keseluruhannya untuk memberi dukungan kepada UMNO, Insya-Allah,” katanya lagi.

PMU 2024 menyaksikan penyertaan mahasiswa dan mahasiswi dari 19 buah universiti melibatkan 430 orang pelajar.

Persidangan tersebut telah berlangsung selama satu hari bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 6.30 petang dan membincangkan mengenai lima kluster utama iaitu pendidikan, kebajikan, kerjaya, politik serta ekonomi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Ahli MKT UMNO, Datuk Shahniza Shamsudin, Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO, Shamellya Norazizi, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Rafiq Mohd dan Presiden UMNOSiswa, Wan Muhammad Zuhir Ghazali. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit