Pemuda UMNO Dukacita Kenyataan Muhyiddin, Wajar Mohon Maaf Secara Rasmi Dan Terbuka
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melahirkan rasa dukacita di atas kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan peranan dimainkan oleh Yang di-Dipertuan Agong ke-16 dalam melantik Perdana Menteri Malaysia ke 10 selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sewaktu berkempen di PRK Nenggiri baru-baru ini.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata kenyataan tersebut jelas mencetuskan persepsi negatif dan kesangsian terhadap kebolehan dan keupayaan Yang di-Dipertuan Agong selaku Ketua Negara yang mana kuasanya telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 40(2) dan Perkara 43(2).
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, menjunjung kasih ke di atas titah tegas Tengku Mahkota Pahang, agar pihak PDRM dapat mengambil tindakan yang tegas terhadap keterlanjuran yang telah dilakukan.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia juga ingin mempersoalkan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Pas, Pertubuhan Parti Peribumi Bersatu (PPBM) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), adakah kenyataan YB Tan Sri Muhyiddin adalah konsensus dan mewakili mereka kesemua?
“Pada hemat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, adalah wajar untuk YB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional menyatakan permohonan maaf rasmi dan secara terbuka bagi memulihkan kesangsian serta keraguan yang telah dicetuskan terhadap institusi Yang di-Dipertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan menyentuh kewibawaan serta mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Susulan itu dilaporkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin.
Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi PN itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum)
Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat. – UMNO Online