PAU 2024: Perjuangan UMNO Tidak Boleh Lari Dengan Kemerdekaan Negara – Khaled
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 kali ini membawa manifestasinya tersendiri apabila diadakan beberapa hari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-67.
Beliau berkata perjuangan UMNO tidak boleh lari dengan kemerdekaan negara kerana ia diraih atas usaha daripada pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu, atas pasak perjuangan yang dibawa mereka memberi kesan sehingga ke hari ini.
“Saya percaya bahawa PAU 2024 ini sangat istimewa dan sangat bermakna. Pertama kerana ia diadakan dalam bulan kemerdekaan satu bulan yang ada signifikannya dengan sejarah perjuangan UMNO dan ia meningkatkan lagi penghayatan UMNO yang memaknakan kemerdekaan itu.
“Dengan meningkatkan lagi perjuangannya, prinsip dengan memukulkan lagi usaha-usahanya untuk terus membangun dan memajukan negara,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan dalam pada itu berkata, menambahkan lagi kehangatan PAU pada kali ini apabila UMNO/Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada Sabtu.
Kata beliau, kemenangan tersebut sudah tentunya menjadi pembakar semangat kepada perwakilan yang hadir untuk terus melaksanakan gerak kerja sebaiknya kepada parti keramat ini.
“Satu lagi signifikannya ialah PAU ini diadakan sebaik sahaja UMNO menang dalam PRK di Nenggiri. Kita percaya bahawa kemenangan itu akan menjadi pendorong dan pencetus kepada UMNO untuk ahli-ahlinya terus bersetia serta tidak putus asa dan terus berusaha supaya pada akhirnya dapat membawa balik kedudukan UMNO sebagai satu parti yang mendapat keyakinan orang-orang Melayu.
“Melalui perhimpunan ini kita dapat tunjukkan semangat perpaduan kita yang tinggi, merapatkan lagi hubungan dan keakraban antara kita. Mudah-mudahan perhimpunan ini seperti biasa akan membawa kita kepada satu tahap persahabatan, persaudaraan dan seperjuangan antara kita itu untuk kita membawa kejayaan kepada parti,” katanya lagi.
PAU 2024 akan berlangsung pada Rabu ini yang akan dimulakan dengan perasmian sayap-sayap oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri yang akan mengambil tempat pada esoknya.
Hari pertama tersebut juga menyaksikan Taklimat Presiden oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi menyampaikan aspirasi beliau kepada akar umbi parti untuk memastikan parti ini terus relevan dalam mendepani dinamika politik hari ini.
Ia melibatkan 6,433 perwakilan daripada seluruh negara termasuk kehadiran ketua-ketua Penerangan bahagian yang dijadikan perwakilan automatik sebagaimana pindaan kepada Perlembagaan dan peraturan mesyuarat pada PAU sebelum ini. – UMNO Online