PAU 2024: Kemenangan UMNO/BN Bakal Jadi Trajektori Baik Kepada Parti

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bakal menjadi satu trajektori baik kepada parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah berkata, PAU pada kali ini akan lebih meriah dengan perbincangan mengenai keputusan PRK DUN Nenggiri diikuti DUN Mahkota yang bakal berlangsung pada bulan September.

“PAU kali ini ia akan jadi lebih meriah dan kesan daripada pilihan raya ini bakal membawa kepada isu di dalam PAU. Tetapi apa pun yang bakal berlaku, saya berpandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi telah membuat sehabis baik… telah menggerakkan sehabis baik segala jentera untuk memastikan setiap pilihan raya kita menang.

“Isu-isu yang dimainkan pihak pembangkang juga telah dijawab dengan baik oleh parti dan juga tukang kempen di kawasan tersebut. Jadi, apabila ini berlaku kita menang, Insya-Allah dan dapat satu trajektori baik untuk parti.

“Maknanya daripada sini, bulan depan kita akan ada PRK di Mahkota dan saya nampak PAU ini akan penuh semangat bercerita mengenai pilihan raya sahaja supaya kita dapat trajektori yang baik di Mahkota pula. Itu penting,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, kemenangan UMNO/BN di PRK Nenggiri akan dapat membentuk ‘winning mentality’ para perwakilan untuk menuju ke Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.

“Nenggiri is the turning point. Jadi, kita akan bercakap tentang menang dan menang. Pada ketika ini, once kita menang di Nenggiri, ia dapat membentuk pemikiran ahli-ahli UMNO dengan mempunyai ‘winning mentality’.

“Ini penting. Apabila kita ada ‘winning mentality’, segala gerak kerja, sikap, perjalanan dan pergerakan akan ke arah nak menang. Untuk terus berjaya pada PRU ke-16 kita perlukan ‘winning mentality’ ini. Sebelum kita pergi perang, kita juga mesti ada confident level yang tinggi.

“Itu yang kita nak gerakkan di sini dan saya nampak insya-Allah kita akan nampak kesannya selepas ini,” katanya lagi.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit