Kejayaan PRK Nenggiri, Perhimpunan Agung UMNO & Bulan Kemerdekaan

1. Alhamdulillah. Kejayaan dalam PRK DUN Nenggiri mengiringi keceriaan menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2024. Kebetulan, bulan Ogos adalah bulan kemerdekaan. Sememangnya ia saling berkait yang tentunya menyemarakkan perjuangan UMNO untuk terus bangkit dan kembali kukuh.

2. Kemenangan UMNO/BN di DUN Nenggiri sesuatu yang amat bermakna dan sangat penting, berjaya merampas kembali DUN dalam keadaan yang sukar, berdepan dengan seteru politik yang banyak menggunakan pendekatan fitnah, memburukkan UMNO/BN dan serangan berbentuk peribadi. Lebih teruk apabila berdepan dengan bekas pemimpin tertinggi UMNO yang berkempen hanya dengan mengutuk UMNO/BN walhal mereka ini diangkat dulu atas nama UMNO.

3. Pendekatan UMNO/BN penuh dengan nilai moral yang berhemah, kesantunan dan tertib dengan berkempen dalam kelompok-kelompok kecil lantas membuahkan hasil. Semua pihak memainkan peranan ditambah dengan calon yang berkaliber. Syabas dan tahniah, terima kasih semua jentera parti.

4. Menyusul kemudian adalah Perhimpunan Agung UMNO 2024 yang bakal menghimpunkan perwakilan dari kepimpinan parti melibatkan seluruh negara. Tentunya kegembiraan dan keyakinan penuh menjadi menguat semangat untuk semua anggota parti berkumpul bagi mengusulkan idea baharu dan membincangkan hala tuju parti.

5. Persidangan ini adalah manifestasi kepada keteguhan sebuah perjuangan biarpun dalam keadaan mendepani pelbagai persekitaran yang mencabar. Apatah lagi ia berlangsung dalam bulan kemerdekaan yang intipatinya adalah melibatkan perjuangan UMNO.

6. UMNO telah mempelopori gerakan nasionalisme dan bangsa Melayu seluruh tanah air bersatu lantas kemerdekaan negara dapat dicapai 67 tahun yang lalu. UMNO adalah pencetus semangat kebangsaan, ruang kebangkitan dan hari ini peluang bagi mencipta kejayaan untuk kembali kukuh dan kuat amat penting.

7. Justeru, menerusi ruang Perhimpunan Agung UMNO, marilah kita kembali perbaharui tekad dengan menghayati asas dan tujuan UMNO iaitu sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara – dulu, kita dan selamanya dengan ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat – insyaAllah!

Selamat bersidang


TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Bendahari UMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit