Fitnah Agong: Muhyiddin Keterlaluan, Tindakan Tegas Perlu Diambil – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi beranggapan bahawa tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memfitnah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika berkempen adalah keterlaluan.

Menurutnya, Muhyiddin wajib memohon maaf di atas tindakannya dan sepatutnya disiasat dengan kadar segera.

“Tindakan Muhyiddin apabila mengheret nama Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri keterlaluan. Kini ada 28 aduan polis dibuat terhadapnya.

“Muhyiddin wajib mohon maaf secara terbuka terlebih dahulu. Sepatutnya dia disiasat segera. Tindakan tegas mesti diambil terhadap Muhyiddin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurutnya, menerusi video ucapan Muhyiddin yang tular di media sosial amat jelas berbaur hasutan dan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Jika diteliti rakaman yang viral ia mengandungi tuduhan serius seolah-olah Yang di-Pertuan Agong ke-16 tidak adil. Ucapan ‘tetapi entah macam mana Yang di-Pertuan Agong waktu itu tidak ajak, jemput saya ke istana untuk angkat sumpah’… amat jelas berbaur hasutan.

“Apatah lagi ia dibuat secara terbuka dan dalam kempen politik. Lima hari sudah berlalu. Muhyiddin membisu dan tidak mohon ampun. Sesuaikah beliau jadi Perdana Menteri semula?” katanya.

Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.

Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.

Berikutan itu Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada jam 10.38 malam tadi. Setakat ini, polis telah menerima 28 laporan terhadap Muhyiddin. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.