Fitnah Agong Ke-16: Pemuda UMNO Terengganu Gesa Pihak Berwajib Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu menggesa pihak berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memfitnah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, Muhyiddin telah menuduh Tuanku Agong tidak mahu melantik beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 ketika minggu berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Perlaksanaan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pilihan raya selepas ini perlu lebih cekap. Jangan biarkan mana-mana pemimpin politik sesuka hati berbual dan melemparkan fitnah lebih-lebih lagi mengganggu gugat Rukun Negara ketika waktu berkempen.

“Baru-baru ini di Nenggiri, Presiden PPRM sesuka hati telah menuduh Tuanku Agong tidak mahu melantik beliau sebagai Perdana Menteri ke-10 meskipun telah memiliki 115 sokongan ahli parlimen,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Tegasnya, Perikatan Nasional (PN) sebenarnya tidak mempunyai jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“PN hanya memiliki 74 kerusi. Bagi melayakkan seseorang untuk dilantik sebagai Perdana Menteri mesti memiliki sekurang-kurangnya 112 kerusi. Mana datangnya 115 kerusi. (Sila dedahkan ahli parlimen/parti yang dikatakan menyokong Tan Sri).

“Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melantik Perdana Menteri atas faktor sentimen kerana Tuanku terikat dengan perlembagaan negara, fasal 40(2) dan 43(2).

“Maka, Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu menggesa pihak berwajib mengambil tindakan atas hasutan, pembohongan, pengkhianatan demokrasi oleh Pengerusi PN dan Presiden PPBM ini,” katanya.

Berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.

Manakala, Perkara 43(2) pula menetapkan bahawa Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.

Berikutan itu Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada jam 10.38 malam tadi. Setakat ini, polis telah menerima 28 laporan terhadap Muhyiddin – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.