Anak Muda Perlu Yakin Bawa Idealisme Perjuangan UMNO – SUA
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengajak UMNO Siswa untuk terus menggarap idealisme perjuangan parti ke dalam kalangan kelompok mahasiswa bagi menyebarkan kefahaman sebenar parti keramat ini.
Beliau berkata ia penting bagi memastikan anak-anak muda di peringkat universiti mendalami perjuangan parti ini dalam membela rakyat khususnya mengangkat martabat orang Melayu/Islam di negara ini.
“Anak-anak muda kena yakin dengan perjuangan UMNO untuk terus pertahankan agenda perjuangan yang sentiasa dekat dengan hati kita rakyat, Islam, bumiputera dan negara.
“Semarakkanlah semangatmu, idealisme perjuanganmu, untuk terus mempertahankannya di bawah lembayung dan wadah keramat UMNO,” katanya.
Asyraf berkata demikian pada Persidangan Mahasiswa UMNO (PMU) 2024 bersempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Tun Hussein Onn, hari ini.
Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.
Mengulas lanjut, Dr Asyraf yang turut sama berbesar hati dengan penganjuran PMU yang pada kali terakhirnya diadakan pada 2018 meluahkan keterbukaan untuk menerima pandangan UMNO Siswa bagi memastikan parti itu relevan dan segar mendapat sokongan kelompok tersebut.
“Itu sebab saya mengharapkan kepimpinan manusiswa yang hadir bersempena dengan perhimpunan agung UMNO ini 2024 untuk semangat biasa suburkan idealisme, perjuangan.
“Maksudnya kalau kita ada sikit sebanyak perasaan memberontak dan pandangan, itu lumrah sebab itu saya tidak pernah menegur.
“Lihat UMNO Siswa bercakap dengan keyakinan sebab kalau tercicir, tergelecoh, terkandas atau sebagainya kita masih ada ayahanda-ayahanda untuk tarik kembali anakanda balik semula ke akar perjuangan dan landasan sebenar,” ujar beliau. – UMNO Online