6,433 Perwakilan Bakal Hadir, Persiapan Rapi Menjelang PAU 2024 Giat Dilaksana

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Persiapan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos ini berjalan dengan lancar.

Tinjuan UMNO Online mendapati warga kerja yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak masih dalam proses penyempurnaan dan beberapa penambahbaikan peringkat akhir dilakukan bagi memastikan acara sepanjang PAU 2024 berjalan lancar.

Seluruh kakitangan Ibu Pejabat UMNO giat melaksanakan persiapan menyeluruh dalam usaha memastikan kelancaran PAU 2024 yang akan bermula pada Rabu ini.

Pelbagai persediaan dilakukan petugas Ibu Pejabat UMNO termasuk menyusun bahan-bahan yang akan dimasukkan ke dalam beg perwakilan untuk diedarkan pada hari pendaftaran PAU nanti.

Tidak ketinggalan juga kakitangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) turut melakukan gerak kerja bagi melancarkan program tahunan UMNO.

Perhimpunan ini melibatkan sebanyak 6,433 perwakilan akan hadir pada Perhimpunan Agung UMNO yang dijadual berlangsung pada 23 Ogos dan 24 Ogos.

Perasmian perhimpunan ketiga-tiga sayap akan dilakukan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pada 21 Ogos pukul 8 malam dan keesokkannya(22 Ogos) diadakan mesyuarat sayap-sayap UMNO.

Perwakilan yang hadir pada mesyuarat sayap-sayap seramai 3,494 yang terdiri dari 1,171 perwakilan akan hadir Perhimpunan Agung Wanita UMNO; Perhimpunan Agung Pemuda UMNO ( 1,173) dan Perhimpunan Agung Puteri UMNO (1,150).

PAU 2024 turut menyediakan lebih 100 buah gerai-gerai yang menjual pelbagai pakaian, cenderahati, produk kesihatan industri kecil dan sederhana (IKS) dan sebagainya.

Penganjuran ini melibatkan sebanyak 60 buah agensi media melibatkan media cetak dan elekronik iaitu 54 agensi tempatan dan enam agensi antarabangsa dengan penglibatan seramai 390 orang petugas media yang telah berdaftar yang melakukan liputan sepanjang pelaksanaan PAU selama empat hari.

Terdahulu pada Sabtu lalu telah diadakan raptai penuh acara luar di Plaza Merdeka di bawah pemantauan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.