PRK Nenggiri: BN/UMNO Kembali Jadi Pilihan, Isyarat Rakyat Tolak Pas/PN – Mohd Asna

SEREMBAN, 18 Ogos – Barisan Nasional (BN)/UMNO kembali menjadi pilihan orang Melayu dengan berjaya merampas Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Datuk Mohd Asna Amin.

Ujar Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban itu, BN melalui calonnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani telah menang empat kali ganda majoriti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu menewaskan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

“Keputusan PRK DUN Nenggiri jelas menunjukkan isyarat penolakan rakyat Nenggiri terhadap Perikatan Nasional.

“Satu tamparan tepat ke muka Tan Sri Anuar Musa dan rakan-rakannya yang saban hari menghentam Presiden UMNO yang kononnya mengemudi UMNO ke jalan yang salah. Malah Presiden berjaya mengetuai jentera UMNO/BN dengan merampas kerusi mereka di negeri kubu kuat mereka sendiri.

“Strategi Presiden, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memilih calon orang muda dan mengumumkan calon lebih awal telah berjaya menyumbang kemenangan yang besar,” katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai kemenangan BN itu.

Jelasnya lagi, beliau masih ingat Ahmad Zahid pernah tekankan bahawa BN perlu bergerak sebagai satu entiti bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan disasarkan.

“…dan melaksanakan penambahbaikan dalam memastikan fungsi serta peranan penerangan parti terus menjadi medium terpenting dalam menyebarkan maklumat parti kepada rakyat.

“Bukan itu sahaja, percaturan ‘berdiam diri’ tanpa sebarang ceramah mega, tidak menjawab ‘tuduhan’ yang dilemparkan oleh lawan , tidak menyerang pihak lawan dan hanya tumpukan penerangan dan hala tuju parti menjadi penyumbang kepada kemenangan di Nenggiri,” katanya yang juga yakin taktikal BN telah berjaya di PRK di Nenggiri.

Justeru, Mohd Asna mengucapkan syabas kepada semua jentera yang bertungkus lumus memenangkan UMNO/BN dan berdoa semoga Allah memberi balasan yang baik atas usaha-usaha semua pihak.

“Kepada YB Awie, suara Nenggiri pasti diangkat dengan lantang ke sidang DUN Kelantan. Selamat menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat,” kataya.

Dalam pada itu, Mohd Asna juga menyeru semua pihak agar menghayati sirah Nabi SAW dengan mengambil ibrah ‘malaikat pun lari meninggalkan orang yang memaki hamun’.

Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar RA sedangkan Nabi SAW sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar RA dan Nabi SAW terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi SAW tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar RA menjawab akan caciannya. Mendengarkan akan jawapan itu, Nabi SAW begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.

Abu Bakar RA menyusul Nabi SAW di belakang baginda dan berkata: Ya Rasulullah SAW apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, engkau nampaknya marah dan bangun?

Nabi SAW menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci-maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit