PAU 2024: Ambil Peluang Untuk Merancang, Kukuhkan Institusi Parti – Hafiz Ariffin

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hafiz Ariffin menyeru seluruh perwakilan untuk mengambil peluang merancang gerak kerja bagi memperkukuhkan institusi parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 ini.

Ujarnya, persiapan Pergerakan Pemuda UMNO menuju ke PAU 2024 berlangsung dengan baik meskipun ramai di antara mereka sebelum ini berada di Nenggiri, Kelantan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Alhamdulillah, syukur persiapan PAU berlangsung dengan baik. Walaupun semua jentera Pergerakan Pemuda UMNO berada di Nenggiri, Kelantan… syukur atas kemenangan semalam.

“Ia beri semangat kepada semua jentera parti untuk terus bekerja, terus ke hari ini. Tinggallah persiapan kita untuk PAU. Jadi secara keseluruhannya, persiapan untuk Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berlangsung dengan baik,” katanya kepada UMNO Online.

Tegasnya, kemenangan UMNO/Barisan Nasional (BN) di PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mampu untuk menyuntik semangat para perwakilan bagi memeriahkan lagi persidangan kali ini.

“Semestinya ia memberi kita semangat tidak menyerah kalah atau memencil diri dengan keadaan politik semasa. Kalau kita berusaha bersungguh-sungguh, bekerjasama sebagai sebuah keluarga melibatkan semua pihak dalam parti, insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada kita.

“…dan semalam keputusannya adalah salah satu daripada manifestasi tersebut. Ia sebetulnya memberikan dorongan kepada Pergerakan Pemuda UMNO untuk bekerja dengan lebih baik dan untuk terus membantu agenda memperkasakan parti,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengalu-alukan kehadiran para perwakilan dari seluruh negara ke PAU 2024 dan berharap agar institusi parti dapat diperkukuhkan.

“Kepada semua pewakilan yang akan hadir, saya ucapkan semoga selamat perjalanan untuk sampai ke Pusat Dagangan Dunia (WTC). Kita ambil ruang dan peluang di persidangan ini, untuk kita memikirkan serta merancang apa yang lebih baik untuk kita majukan parti.

“…dapat kita kembangkan dalam memperkukuhkan institusi Pergerakan Pemuda serta parti. Jadi inilah tempatnya dan insya-Allah kita akan berjumpa dalam masa beberapa hari lagi,” katanya lagi.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit