Menang PRK Nenggiri: Rakyat Kembali Yakin Kepada BN, Beri Suntikan Semangat PAU 2024

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan sahaja memperlihatkan BN berjaya merampas kerusi itu.

Malah kata Menteri Besar Pahang itu, apa yang penting adalah kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap BN telah kembali meningkat terutamanya di Kelantan.

“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil N.43 DUN Nenggiri.

“Syabas dan tahniah kepada saudara Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani kerana telah memenangi PRK DUN Nenggiri dan terima kasih juga kepada para pengundi kerana telah memilih dan memberi kepercayaan kepada Awie untuk mewakili dan membawa suara mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya.

Seterusnya, Wan Rosdy mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua jentera BN yang telah berhempas pulas selama dua minggu.

“Kemenangan ini adalah hasil daripada usaha bersama, dedikasi, dan komitmen berterusan anda semua.

“Semoga saudara Awie dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin untuk membela nasib serta memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat di DUN Nenggiri,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang malam tadi mengesahkan BN menang PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Mohd Azmawi Fikri atau mesra dengan panggilan Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.

PRK DUN Nenggiri ini merekodkan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 73.88 peratus melebihi sasaran SPR.

Manakala seorang lagi Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kemenangan BN di Nenggiri pasti memberikan suntikan semangat buat perwakilan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu hadapan.

“Kemenangan ini adalah sebelum bermulanya Perhimpunan Agung UMNO pada minggu hadapan.

“Pastinya ia akan memberikan suntikan semangat buat semua perwakilan yang akan bersidang,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Khaled yang juga Menteri Pertahanan turut mengucapkan tahniah kepada Mohd Azmawi Fikri.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Sdr. Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, Ketua Pemuda UMNO Kelantan yang mewakili BN dan Kerajaan Perpaduan kerana telah dipilih menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 43 Nenggiri, Kelantan.

“Terima kasih saya ucapkan kepada kepimpinan dan jentera UMNO, BN dan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan dari seluruh negara, yang telah bertungkus lumus memastikan kemenangan buat calon daripada Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.

Selanjutnya, Khaled juga mengucapkan selamat berkhidmat kepada Awie sebagai wakil rakyat Nenggiri yang baharu sebagaimana yang telah diamanahkan.

Begitu juga dengan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kepada Awie daripada Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Tahniah kepada Sdra. Azmawi Fikri yang telah mewakili BN kerana telah berjaya dipilih sebagai wakil rakyat oleh pengundi-pengundi DUN Nenggiri, Kelantan.

“Terima kasih diucapkan kepada seluruh pengundi-pengundi DUN Nenggiri yang telah memilih Barisan Nasional serta memberikan kepercayaan bagi menerajui kawasan DUN ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada seluruh kepimpinan parti, jentera BN, parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan dan penyokong-penyokong yang telah berusaha keras berkempen di Nenggiri dalam memastikan kemenangan kepada Barisan Nasional,” kata Menteri Perladangan dan Komoditi itu lagi.

Sebagai rekod, PRK kawasan itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket Pas mewakili PN dengan majoriti 810 undi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.