Kempen Berhemah Dan Fokus Gerak Kerja, Inilah Prinsip UMNO/BN – Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Siri kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri telah melabuhkan tirainya.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai ‘Awie’ dengan izin Allah SWT telah pun mendapat kemenangan dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Pas mewakili Perikatan Nasional (PN).

Menurut, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, pilihan raya di Negeri Kelantan merupakan satu cabaran besar buat BN, namun katanya inilah UMNO iaitu pantang berundur sebelum berjuang.

“Inilah perjuangan UMNO, inilah Barisan Nasional (BN) dan kempen kami bukan kempen sindir-menyindir ataupun perli-memerli.

“Selain faktor calon, tidak lain dan tak bukan adalah berkat kerja keras semua jentera BN. Saya sendiri bersama jentera yang telah berkampung dan memulakan gerak kerja seawal hari penamaan calon lagi sehingga hari pengundian,” katanya.

Rahman yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia menjelaskan penglibatannya dalam siri kempen ini adalah berjumpa dengan setiap rakyat Nenggiri dan menyelami denyut nadi rakyat di kawasan terbabit.

“BN berjumpa sendiri akar umbi di bawah untuk menyelami sendiri hasrat dan denyut nadi rakyat Nenggiri dan akhirnya menyebelahi kita apabila menang dengan majoriti yang besar. Inilah yang dilakukan BN sekian lama dan selaku sebahagian Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Mungkin kami tiada siri ceramah mega seperti pasukan lawan. Namun jentera BN sewaktu berkempen, celik sahaja mata, terus turun berjumpa rakyat. Balik ke ‘homestay’ lewat malam selepas selesai tugasan di Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berpendapat rakyat semakin bijak menilai parti mana yang sentiasa berkerja keras untuk kebaikan rakyat dan bukannya parti yang hanya pandai berceramah.

“Rakyat hari ini semakin bijak menilai sama ada parti yang hanya tahu berceramah sahaja atau parti yang mempunyai visi dan tekad untuk selesaikan masalah rakyat.

“Saya akan teruskan gerak kerja kementerian untuk bersama dengan pemimpin setempat bagi memperkasa agenda TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) di luar bandar seperti Nenggiri serta teruskan usaha untuk tingkatkan kesedaran masyarakat luar bandar untuk mempunyai perlindungan keselamatan sosial,” jelas beliau yang bertekad akan terus memberi komitmen sepenuhnya terhadap kepercayaan rakyat Nenggiri.

Terdahulu, malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang mengesahkan BN menang.

Calon BN Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail yang meraih 5,739 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit