Kemenangan Nenggiri Bukan ‘Tiket’ Lupa Diri, Usaha Menangi Hati Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan tiket untuk lupa diri, tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi.

Tetapi jelasnya, ia adalah tiupan semangat untuk ahli parti dan mengambil hati rakyat kembali.

“Saya nampak kemenangan di Nenggiri hasil usaha satu keluarga besar UMNO yang mempunyai satu semangat dan hasrat jitu, untuk memenangkan calon.

“Semua ahli parti seluruh peringkat seluruh negara menumpukan perhatian sepenuhnya kepada DUN Nenggiri supaya wakil Barisan Nasional mendapat kemenangan di bumi Kelantan,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

Ujarnya, tohmahan dan cacian yang dilemparkan kepada UMNO daripada selepas pilihan raya umum sehingga sekarang tetapi UMNO terus menguatkan kesatuan mengorak langkah dan diterjemahkan gerak kerja dalam PRK Nenggiri.

Malam tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang mengesahkan BN menang PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.

Seterusnya, Nurul Amal juga merakamkan ribuan terima kasih kepada semua pimpinan dan ahli yang membantu di PRK pada kali ini dan penghargaan diberikan kepada pimpinan tertinggi dan keluarga UMNO Negeri Kelantan yang bersungguh-sungguh dalam PRK kali ini.

“Kerja satu keluarga ini, dengan satu tekad untuk parti jika dikuatkan lagi, insya-Allah membawa kebaikan kepada UMNO.

“Inilah yang saya nampak dalam PRK kali ini dan inilah Keluarga besar UMNO yang dirindui,” katanya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit