Kemenangan BN Di PRK Nenggiri Bukti Sokongan Rakyat Masih Kukuh

GUA MUSANG, 18 Ogos – Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri malam tadi, dengan calon mereka, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memperoleh majoriti yang signifikan.

Kemenangan ini disifatkan sebagai bukti bahawa rakyat masih memberi sokongan kuat kepada parti itu.

Pengarah Operasi Pilihan Raya BN, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, menyatakan bahawa kejayaan ini turut mencerminkan kebangkitan anak muda dan masyarakat Melayu di kawasan tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta seluruh jentera, sama ada dari Kelantan atau luar Kelantan, atas usaha keras yang telah membawa kepada kemenangan besar ini,” katanya ketika ditemui di Command Centre Bukit Cekati malam tadi.

Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan menambah, kemenangan ini bukan sekadar kejayaan bagi DUN Nenggiri tetapi juga merupakan langkah pertama dalam perjuangan yang lebih besar untuk UMNO dan BN secara keseluruhannya.

Beliau turut menolak dakwaan pihak lawan yang mengatakan kerjasama BN dalam Kerajaan Perpaduan akan mengancam kedudukan orang Melayu.

“Kemenangan ini membuktikan dakwaan tersebut tidak berasas,” ujarnya.

Pada masa yang sama Ahmad Jazlan juga merakamkan penghargaan kepada masyarakat Orang Asli yang turut memberi sokongan padu kepada BN dalam PRK kali ini.

“Kemenangan BN di DUN Nenggiri ini dilihat sebagai petanda positif untuk masa depan parti itu, terutama dalam menghadapi cabaran politik yang mendatang,” ujarnya lagi. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang malam tadi mengesahkan BN menang PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Calon BN Mohd Azmawi Fikri atau Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.