Kemenangan BN Di Nenggiri Bawa Signifikan Tersendiri – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 18 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kemenangan calon parti Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani membawa signifikannya tersendiri dalam membawa kebangkitan semula BN di negara ini khususnya di Kelantan.

Katanya ini kerana negeri itu sinonim dengan kekuatan Pas dan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bakal menjulang kembali BN ke persada politik tanah air.

“Pilihan raya ini bukan satu pilihan raya biasa kerana Kelantan seperti diketahui kubu kuat Pas, namun kebangkitan rakyat mula ditunjukkan dalam PRK DUN Nenggiri kali ini yang memberikan mesej untuk bangkit melakukan perubahan terutamanya dari aspek pembangunan yang gagal dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Kelantan khususnya di kawasan Nenggiri.

“Daripada kemenangan PRK DUN Nenggiri ini kita perlu istiqamah tidak perlu bermegah tapi seharusnya berazam dan kerja keras secara bijaksana bahawa mandat baharu rakyat bukan sahaja di DUN Nenggiri malah di seluruh negeri mesti diterjemahkan dengan kerja keras kita untuk terus memperkasakan dan merakyatkan parti BN/UMNO,” katanya ketika diminta mengulas kemenangan Mohd Azmawi Fikri.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang malam tadi melaporkan BN menang PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Calon BN Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.

Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berada di Nenggiri selama dua minggu bagi mengetuai jentera BN/UMNO Sabah yang turut disertai oleh beberapa orang Ketua UMNO Bahagian Sabah membantu berkempen.

Mengulas lanjut kemenangan BN dalam PRK DUN Nenggiri ini, Bung yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, kemenangan BN dalam PRK kali ini turut memberikan pengajaran serta pengalaman kepada UMNO/BN Sabah yang bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 akan datang.

“Ya, ada pengalaman untuk kita perolehi dari gerak kerja kempen serta isu-isu domestik terutamanya dalam isu pembangunan infrastruktur di kawasan ini yang tidak jauh bezanya dengan keadaan pembangunan di Sabah yang akan kita aplikasikan dalam gerak kerja kempen BN pada PRN akan datang,” katanya.

Menurut beliau rakyat Kelantan khususnya di DUN Nenggiri telah menolak Pas kerana kegagalan kerajaan negeri membangunkan negeri khususnya di DUN Nenggiri.

“…terutamanya dari aspek penyediaan infrastruktur asas, mempertingkatkan ekonomi rakyat dan sebagainya dan keadaan ini tidak jauh berbeza sebagaimana yang dirasakan oleh rakyat Sabah ketika ini ekoran kegagalan kerajaan negeri yang gagal merealisasikan slogan ‘Sabah Maju Jaya’ walaupun telah mentadbir negeri Sabah lebih dari empat tahun.

“Tidak mustahil rakyat Sabah akan melakukan sesuatu perubahan sebagaimana yang berlaku di DUN Nenggiri ini. Kemenangan ini akan memberikan anjakan paradigma kepada ahli-ahli UMNO/BN khususnya di Sabah untuk bangkit membela rakyat setelah dinafikan serta ditikam dari belakang walaupun telah memberikan sumbangan terbesar dalam pembentukan kerajaan negeri selepas PRN Ke-16 lepas,” katanya. – UMNO ONLINE

Oleh: Jaafar Abdul Wahid

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit