Kejayaan PRK Nenggiri Bukti UMNO/BN Terus Relevan, Iring Kejayaan Depani PAU Dan PRK Mahkota – Mohd Zaidy

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang berpihak kepada Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dengan majoriti besar 3,352 undi semalam adalah manifestasi sokongan masyarakat kepada Barisan Nasional (BN) yang tidak pernah pudar.

Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang yang melahirkan rasa syukur dan berbangga dengan pencapaian terkini UMNO/BN lantas menjadi bukti bahawa parti ini terus kekal relevan dalam mendepani pelbagai cabaran.

Katanya, kejayaan tersebut pastinya menceriakan anggota parti yang bakal bersama-sama menyemarakkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 beberapa hari saja lagi.

“Sudah tentu kejayaan dalam mengembalikan DUN Nenggiri kepada UMNO/BN akan menambah keceriaan menjelangnya PAU2024 kerana ia tentunya akan menjadi bahan bualan dan pembakar semangat untuk meneruskan perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Ujar beliau, manifestasi kejayaan PRK DUN Nenggiri mempunyai banyak makna yang kesemuanya memberi impak positif kepada anggota parti untuk terus proaktif.

“Kita berjaya merampas semula DUN Nenggiri yang sebelum ini jatuh kepada pihak lawan. Ini telah mengembalikan maruah UMNO/BN yang diperkotak-katikkan oleh pihak lawan dengan macam-macam manipulasi dan fitnah termasuklah dari bekas pemimpin UMNO sendiri.

“Kejayaan kita meletakkan calon yang berkaliber memberikan kesan yang amat besar di samping gerak kerja selari pelbagai peringkat, jentera yang sepakat dan pelbagai perkara digerakkan dengan cara bersama, menolak sentimen negatif dan kempen dengan cara berhemah.

“Kita tidak terikut-ikut dengan cara pihak lawan yang suka memainkan serangan bersifat negatif dan memutar belit fakta, apatah lagi memberikan pelbagai janji-janji yang tidak realistik kepada masyarakat.”

Justeru kata Mohd Zaidy hal tersebut tentunya menjadi kayu ukur kepada UMNO yang diterajui oleh kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mendepani politik masa hadapan.

“Ini adalah kejayaan yang sangat manis, juga kepada kepimpinan anggota parti yang diketuai Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang selama ini berdepan pelbagai tohmahan namun tak pernah alah, alhamdulillah, moga kita terus dilimpahi kejayaan pada masa hadapan.

“Menjelang PAU 2024, kemudiannya kita bakal berdepan dengan PRK Mahkota pula maka kejayaan yang telah dilalui sepanjang kempen PRK Nenggiri hinggalah kepada hari kemenangan semalam akan dapat dijadikan tauladan kepada semua.

“Diharap juga momentum ini akan berterusan dengan kemenangan PRK Nenggiri menjadi titik mula kepada pelbagai kejayaan yang akan kita kecapi pada masa hadapan termasuklah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak,” katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang dapat merealitikan kejayaan lantas memberikan suntikan semangat bukan sahaja kepada anggota dalam UMNO tetapi juga kepada para pendukung BN dan masyarakat secara holistik.

“UMNO/BN adalah sandaran harapan semua dari dulu, kini dan selamanya, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit