Jawatan Bukan Untuk Disanjung, Berbaktilah Kepada Rakyat Nenggiri, Pesan Ku Li

GUA MUSANG, 18 Ogos – Pengarah Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bagi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah bersyukur atas kejayaan yang diraih parti dan calonnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li turut berpesan kepada Mohd Azmawi Fikri atau Awie agar memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat Nenggiri.

“Kepada Awi… jawatan yang disandang ini bukanlah untuk disanjung tetapi untuk berkhidmat dan bekerja dengan berbakti kembali kepada rakyat Nenggiri.

“Galaslah amanah dan mandat yang telah diberikan dengan sebaik-baiknya,” kata Ku Li menerusi satu catatan di laman rasmi Facebooknya.

Selanjutnya, Ku Li juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh jentera BN yang telah turun membantu secara langsung mahupun tidak langsung dalam usaha memenangkan Mohd Azmawi Fikri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang malam tadi mengesahkan BN menang PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Calon BN Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.

PRK DUN Nenggiri ini merekodkan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 73.88 peratus, melebihi sasaran SPR.

Sebagai rekod, PRK kawasan itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket Pas mewakili PN dengan majoriti 810 undi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.