Bersifat Inklusif… SUA Alu Kehadiran Perwakilan, Pemerhati Dan Rakyat Ke PAU 2024
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengalu-alukan kehadiran para perwakilan, pemerhati dan rakyat ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang dijadual bermula pada 21 Ogos ini.
Menurutnya, raptai luar dewan untuk acara perasmian PAU 2024 telah berjaya diadakan pada pagi tadi manakala raptai upacara dalam dewan bakal dilangsungkan pada Isnin.
“Telah selesai raptai awal persiapan untuk PAU yang bakal bermula pada 21 Ogos dengan Taklimat Presiden pada pukul 3.00 petang. Pada malam tersebut akan diadakan Majlis Perasmian Persidangan Wanita, Sayap Pergerakan Pemuda dan juga Pergerakan Puteri UMNO yang akan disempurnakan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan.
“Keesokan harinya pada 22 Ogos, persidangan semua sayap akan dilaksanakan secara serentak. Pada 23 Ogos, bermulalah PAU 2024. Ucapan Dasar Presiden pada sebelah pagi dan pada petangnya bermula dengan perbahasan usul-usul dan akan selesai pada 24 Ogos,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selepas raptai PAU 2024, sebentar tadi.
Jelasnya, PAU pada kali ini bersifat inklusif dengan adanya eksplorasi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang meliputi ekspo kerjaya serta pendidikan kepada rakyat di luar sana.
“Untuk pertama kalinya kita akan adakan eksplorasi TVET kerana ini merupakan agenda besar parti, terutamanya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kita ingin mengalu-alukan kehadiran orang ramai kerana eksplorasi TVET ini sama seperti ekspo kerjaya dan juga pendidikan.
“Eksplorasi TVET ini melibatkan 1,345 institusi yang diselaraskan oleh 12 kementerian dan di bawah Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Presiden sendiri, akan menawarkan tempat-tempat MARA terutamanya. Sekurang-kurangnya ada 10,000 kekosongan untuk kita ambil ‘intake’ seawal bulan November.
“Bagi rakyat Malaysia di luar sana boleh menghadirkan diri bermula dari hari Jumaat, sehingga Ahad. Kita nak menggambarkan PAU kali ini bukan bersifat eksklusif, tetapi inklusif. Kita mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Malaysia untuk merasai sendiri bukan sahaja PAU tetapi yang paling penting mengambil kesempatan daripada eksplorasi TVET,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengajak seluruh perwakilan, pemerhati dan rakyat untuk bersama-sama hadir dan menggunakan wadah PAU bagi memperjuangkan agama, bangsa serta tanah air.
“Saya dengan rasa penuh penghormatan dan rendah diri mengalukan bukan sahaja perwakilan dan pemerhati keluarga besar UMNO tetapi juga rakyat Malaysia. Datanglah ke Pusat Dagangan Dunia (WTC)… datanglah ke sini untuk bersama-sama.
“Wadah ini bukan wadah milik orang UMNO. Wadah ini adalah wadah rakyat. Wadah ini untuk kita menjelmakan aspirasi rakyat. Memperjuangkan bukan sahaja soal Islam, bangsa Melayu dan bumiputera tetapi juga rakyat.
“Itu sebabnya kita adakan juga bersama-sama dengan PAU, Karnival Eksplorasi TVET yang akan dimanfaatkan oleh bukan ahli UMNO tetapi seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.
Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.
PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online