Timo Kasih Oghe Nenggiri! Amanah Kita Dari Rakyat Untuk Rakyat – Azalina

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – “Timo kasih oghe Nenggiri! Amanah kita, dari rakyat, untuk rakyat!”

Demikian kata Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said mengucapkan terima kasih kepada rakyat khususnya pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang telah memilih Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

Katanya lagi, kemenangan yang diperolehi merupakan satu amanah daripada rakyat untuk rakyat.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) turut mengucapkan tahniah kepada calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang memenangi PRK DUN Nenggiri pada hari ini.

“Kejayaan besar BN dengan majoriti bergaya ini merupakan hadiah yang cukup manis dan bermakna buat UMNO menjelang Perhimpunan Agung UMNO minggu hadapan.

“Selamat menjalankan tugas dan amanah besar warga Nenggiri ini dengan sehabis baik. Rakyat memilih kita demi perpaduan yang membawa kepada kemakmuran dan kestabilan,” katanya dalam satu hantaran di laman X, malam ini.

Sehubungan itu, Azalina mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Pengarah PRK Nenggiri Tan Sri Tengku Razeleigh Hamzah, Pengarah Operasi PRK Nenggiri merangkap Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan seluruh jentera BN Kelantan yang membolehkan kemenangan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi malam ini di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang mengesahkan BN menang PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Mohd Azmawi Fikri memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit