PRK Nenggiri: Pengundi Mahu Suara Rakyat Didengari

GUA MUSANG, 17 Ogos – Pelbagai reaksi wajah dapat dilihat di kalangan para pengundi yang datang ke pusat pembuangan undi di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di sini untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Bilangan pengundi yang hadir dan pusat pengundian yang dibuka bermula jam 8.00 pagi tadi berlangsung dalam keadaan yang amat baik dan proses pengundian lancar dengan dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Tinjauan UMNO Online di tempat pusat pembuangan undi di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi di sini mendapati semuanya berjalan dengan lancar.

Nor Alia Rosli, 31, peniaga makanan, berkata semenjak dari dahulu lagi dan tidak pernah ketinggalan menunaikan kewajipan sebagai rakyat Malaysia untuk mengundi.

“Sejak dahulu lagi, saya tidak pernah ketinggalan untuk keluar mengundi kerana merasakan ia satu tanggungjawab yang besar kepada negeri dan negara.

“Sibuk macam mana pun kena pergi mengundi sebab kita mahu lihat
calon yang kita pilih ini menang supaya dia boleh melaksanakan tugasnya sebagai wakil rakyat seperti yang diharapkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Bagi pengundi Nik Pah Nik Rahmat, 48, penoreh getah turut melahirkan rasa amat teruja kerana sekali lagi berpeluang menunaikan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia.

“Setiap kali tiba pilihan raya, saya pasti teruja untuk keluar mengundi kerana ia merupakan tanggungjawab kita semua.

“Justeru saya amat berharap wakil rakyat DUN Nenggiri lebih prihatin kepada kebajikan rakyat terutama golongan tua dan juga masalah yang dihadapi oleh rakyat,” katanya lagi.

Sementara itu bagi Nor Asma Zahari, 36, pekerja swasta, harap wakil rakyat yang baharu ini dapat menambahkan lagi infrastruktur dan menaikkan taraf ekonomi rakyat Nenggiri.

“Saya harap wakil rakyat yang baharu ini dapat membangunkan serta menambahkan infrastruktur di Nenggiri ini kerana rakyat mahukan perubahan sama ada kehidupan dan sebagainya.

“Pemimpin yang dipilih nanti dapat memberikan komitmen sepenuhnya terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada rakyat Nenggiri,” ujarnya.

Sebanyak 20 pusat mengundi melibatkan 46 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang dengan enam daripadanya mempunyai jumlah pengundi yang sedikit akan ditutup lebih awal.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai ‘Awie’ dan calon dari Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail.

Berdasarkan statistik SPR, daripada 20,259 pengundi berdaftar, 14 anggota polis mengundi secara pos yang menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka, manakala secara keseluruhan sebanyak 43 kertas undi pos sudah dikeluarkan pada 5 Ogos lalu kepada individu yang berhak.

Manakala SPR dalam satu hantaran di laman rasmi Facebook menyatakan setakat jam 3 petang ini, sejumlah 68.21 peratus pengundi keluar mengundi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit