Pelarasan Gaji: Sektor Swasta Disaran Ikut Jejak Langkah Kerajaan – Sharkar

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja & GiG Ekonomi UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap pengumuman kerajaan berhubung kenaikan gaji yang dinikmati kakitangan awam akan turut diikuti oleh sektor swasta di negara ini.

Menurut beliau langkah berkenaan sekaligus akan turut memberi impak kepada ekonomi negara selain secara hakikatnya akan memberi peluang kepada kumpulan B40 menikmati kenaikan gaji sekaligus meningkat taraf hidup masing-masing.

“Kita alu-alukan pengumuman kerajaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung pelarasan gaji kakitangan awam. Kita harap dengan pengumuman ini sekaligus dapat meningkatkan lagi produktiviti seluruh kakitangan sektor berkenaan di negara ini.

“Pada masa yang sama kita turut melihat alangkah baiknya serentak dengan pengumuman berkenaan, sektor swasta juga turut mengambil langkah yang sama. Peratusan kenaikan dan sebagainya lagi bergantung kepada kewangan masing-masing.

“Ini secara tidak langsung kumpulan B40 dan lain-lain akan dapat keluar daripada kumpulan berkenaan sekaligus meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Sharkar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya berharap kenaikan yang diumumkan kerajaan semalam tidak diambil kesempatan oleh mana-mana pihak dengan menaikkan harga barang dan sebagainya.

Langkah itu katanya tidak akan memberi apa-apa makna kepada pengumuman kerajaan sebaliknya akan membebankan rakyat di seluruh negara.

Dalam pada itu beliau penuh yakin ekonomi negara hari ini cukup baik apabila kerajaan mengambil langkah sedemikian rupa dengan pelarasan gaji kakitangan awam.

“Secara realitinya perkembangan itu memperlihatkan ekonomi negara kita berada dalam keadaan baik. Tidak mungkin kerajaan berani mengambil langkah berkenaan jika keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan sebaliknya.

“Jadi dengan kata lainnya ekonomi semasa negara membolehkan sektor swasta boleh mengambil langkah yang serupa seiring dengan langkah Kerajaan Madani hari ini,” ujarnya.- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.