Mohamad Hasan Pesan Kepada Awie Selamat Berkhidmat, Jalankan Amanah

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan selamat berkhidmat dan menjalankan amanah dengan sebaiknya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri yang baharu Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Selamat berkhidmat dan menjalankan amanah kepada #BudokAwie Azmawi Fikri,” kata Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam satu hantaran di Facebok.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam keputusan rasmi di pusat penjumlahan undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang malam ini mengesahkan BN menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Mohd Azmawi Fikri atau mesra dengan panggilan Awie memperoleh 9,091 undi menewaskan pencabarnya calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.

PRK DUN Nenggiri ini merekodkan jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 73.88 peratus melebihi sasaran SPR.

Selanjutnya, Mohamad yang juga Menteri Luar Negeri bersyukur atas kemenangan yang BN perolehi itu.

“Terima kasih kepada pengundi-pengundi di Nenggiri yang memberikan semula mandat kepada BN di DUN Nenggiri.

“Tahniah dan syabas kepada seluruh petugas-petugas serta jentera parti yang bertungkus lumus bertugas untuk kemenangan ini,” katanya.

Sebagai rekod, PRK kawasan itu diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket Pas mewakili PN dengan majoriti 810 undi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.