DUN Nenggiri: Pengundian Berjalan Lancar, Pengundi Tunai Tanggungjawab

GUA MUSANG, 17 Ogos – Suasana hari pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sehingga tengah hari menyaksikan suasana yang seimbang membabitkan pengundi muda dan warga emas untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Beberapa pusat pengundian yang dibuka bermula jam 8.00 pagi tadi berlangsung dalam keadaan yang amat baik dan proses pengundian lancar dengan dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berdasarkan tinjauan UMNO Online mendapati suasana pusat pengundian SK Limau Kasturi dengan cuaca yang baik membolehkan pengundi membuang undi masing-masing dengan selesa.

Seramai 20,259 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK bagi DUN Nenggiri.

Sebanyak 20 pusat mengundi melibatkan 46 saluran akan dibuka bermula 8 pagi hingga 6 petang dengan enam daripadanya mempunyai jumlah pengundi yang sedikit akan ditutup lebih awal.

Empat pusat mengundi akan ditutup pada 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala SK Pulat dan Dewan Orang Ramai Pos Simpor ditutup pada 3 petang.

PRK DUN Nenggiri melibatkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili PN.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri Kelantan Ogos tahun lalu, calon BN Ab Aziz Yusoff tewas kepada Mohd Azizi yang bertanding di bawah tiket PAS mewakili PN dengan majoriti 810 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit