BN Rampas Semula DUN Nenggiri, PRK Pertama Kerusi Penyandang Bertukar Tangan

GUA MUSANG, 17 Ogos – Keputusan tidak rasmi Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Sehingga dilaporkan, Calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani  mendapat undi 8,494 mengalahkan calon Pas, Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili PN, 5,111 undi.  Azmawi menang dengan majoriti  3,383 undi.

Kejayaan BN mengambil semula DUN Nenggiri adalah pertama kali kerusi penyandang bertukar tangan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Mohd Azizi Abu Naim daripada Bersatu yang bertanding atas tiket Pas menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi. Calon BN, Ab Aziz Yusoff memperolehi 5,707 undi.

PRK DUN Nenggiri melibatkan seramai 20,259 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan Pas.

Ia diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumumkan Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun lepas, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.