Undi BN, Kemenangan Nenggiri Bakal Jadi Batu Loncatan Kebangkitan UMNO – Nik Mohd Nadzri

GUA MUSANG, 16 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Keningau, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi menyatakan harapan tinggi terhadap Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri yang akan berlangsung esok.

Menurut beliau, kemenangan di DUN Nenggiri akan menjadi satu titik permulaan yang penting dalam mengukuhkan kedudukan parti.

“Saya mengharapkan dengan kemenangan di DUN Nenggiri pada PRK ini sebagai hadiah besar untuk parti UMNO dan juga menjadi ‘batu loncatan’ kepada kebangkitan parti ini. Bukan saja di bumi Kelantan tapi khususnya di seluruh negara terus bangkit.

“Momentum kebangkitan akan terus diperjuangkan dan selepas ini akan mengadakan PRK di DUN Mahkota, Johor, maka kita harap akan mendapat kemenangan yang lebih besar dan juga masa-masa mendatang, insya Allah.

“Sekiranya kemenangan dapat dicapai di DUN Nenggiri dan juga di Mahkota, tidak mustahil pilihan raya ini akan terus menjadi momentum ke negeri Sabah yang akan berlangsung pilihan raya negeri tidak lama lagi,” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di kawasan kempen pilihan raya.

Mengulas lanjut Nik Nadzri juga menyeru kepada rakyat DUN Nenggiri agar keluar mengundi dan memangkah calon BN.

“Saya menyeru kepada anda semua untuk keluar mengundi pada hari pilihan raya. Setiap undi anda amat berharga dalam menentukan kepimpinan yang akan membawa DUN Nenggiri ke arah yang lebih baik.

“Jangan lupa, ketika berada di pusat mengundi, pastikan memangkah calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani. BN telah terbukti berjasa dan berpengalaman dalam mentadbir dan membangunkan negara kita.

“Dengan sokongan rakyat Nenggiri, kita akan dapat memastikan masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN). 

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya, Mohd Rizwadi Ismail. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit