Tidak Pelik… Pihak Lawan Cuba Lari Isu Sebenar Di Nenggiri – Bung Moktar

GUA MUSANG, 16 Ogos – Tidak pelik dan bukan memeranjatkan apabila kempen pihak lawan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dilihat cuba mengalihkan perkara sebenar yang dihadapi oleh masyarakat setempat.

Isu-isu yang tidak relevan sekadar dijadikan umpan untuk memastikan pengundi keliru sekaligus memberi kelebihan kepada mereka pada hari mengundi Sabtu ini.

Bagi Ketua UMNO Sabah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin itu sememangnya tindakan yang biasa dalam usaha mengelirukan masyarakat setempat berkaitan perkara sebenar yang dihadapi di Nenggiri.

“Mereka hanya sentuh bahawa Kerajaan Perpaduan ini gagal untuk mengatur ekonomi dan gagal untuk menyatu padukan masyarakat selain UMNO telah banyak melukai hati orang Melayu, sedangkan perkara ini tidak berlaku.

“Apa yang diutarakan oleh pihak lawan tidak berlandaskan realiti, dan UMNO tetap konsisten dalam perjuangannya untuk agama, bangsa, dan negara.

“Perjuangan UMNO malah dalam perlembagaan parti juga jelas, dan kerja-kerja UMNO buat kita pun nampak. Kita mengutamakan agama, bangsa dan negara. Kita tidak pernah meninggalkan satu inci pun kepercayaan terhadap Islam dan kita terus perjuangkan. Dari dulu dalam perlembagaan UMNO meletakkan agama itu adalah keutamaan yang kita perjuangkan.

“Jadi apa yang diperkatakan oleh pihak lawan kita sekadar untuk memburukkan parti kita sekaligus cuba untuk menghakis kepercayaan pengundi di DUN Nenggiri,” katanya kepada UMNO Online.

Bung seterusnya menambah masyarakat di kawasan Nenggiri beruntung kerana berpeluang sekali lagi menentukan pilihan dan sudah pasti calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie diberikan kepercayaan pada Sabtu ini.

“Tempoh berkempen yang masih berbaki harus digunakan sebaiknya… calon kita lebih hebat, saya tidak kata calon lawan tidak hebat tetapi calon yang kita ada adalah lebih baik dan boleh dijadikan pilihan oleh masyarakat di Nenggiri,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit