PAU 2024 Realiti Semangat Kebersamaan, Naratif Ke Arah Masa Hadapan Lebih Baik – Mohd Jafni

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Kulai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor menekankan pentingnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 untuk menunjukkan semangat kekitaan dalam parti dan memperkuat UMNO.

Katanya, apabila tibanya persidangan UMNO, para perwakilan akan berkumpul beramai-ramai di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) serta membincangkan hala tuju parti.

“Bersama kita mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan-perwakilan khasnya daripada Johor dan perwakilan seluruh Malaysia untuk datang ke perhimpunan agung kali ini.

“Dah sampai masanya, di peringkat akar umbi, di peringkat pemimpin-pemimpin daripada sayap-sayap, bahagian-bahagian bersama beramai-ramai datang ke WTC untuk menunjukkan semangat kekitaan kita.

“Inilah semangat baharu kita untuk memperkuatkan parti UMNO itu sendiri dalam kita menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Ujar beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Johor, perhimpunan kali ini juga tentunya akan melihat kepada perancangan masa hadapan parti.

“Saya melihat selepas kita kalah pada tahun 2018, lepas itu tahun 2022 dengan kerusi yang sangat sedikit iaitu 30 kerusi dan UMNO hanya 26 daripada jumlah 222 kerusi.

“Seperti yang dibangkitkan sebelum ini bahawa kita tidak boleh mendabik dada atau ego tentang nak minta lebih sedangkan kerusi kita tidak banyak dan kuasa kita sedikit.

“Jadi perhimpunan agung kali ini saya melihat bahawa di peringkat isu bagaimana kita bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan dan penerimaan ahli-ahli parti tetapi kita tahu bahawa tanpa kuasa kita tidak boleh berikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.”

Justeru katanya, PAU2024 ini akan mampu memberikan naratif kepada anggota parti khususnya para perwakilan.

“Harapan saya… maknanya PAU kali ni akan memberi naratif atau objektif apa sebenarnya nak kita capai pada PRU ke-16 akan datang.

“Mungkin di peringkat perwakilan, kita tak tahu siapa kita akan bekerjasama selepas ini… mungkin lain negeri maka lain kaedahnya tetapi di Johor ada kaedah sendiri dan saya percaya, kali ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi akan bawa satu hala tuju yang jelas untuk kita menghadapi PRU yang ke-16 kelak,” katanya lagi.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyusul kemudiannya ialah mesyuarat UMNO untuk peringkat bahagian melibatkan 191 bahagian di seluruh negara yang telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024 melibatkan seramai 6,433 perwakilan yang terdiri daripada kepimpinan bahagian, Wanita, pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.