Pastikan Masa Depan Nenggiri Cerah Dengan Pilih Calon Tepat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat untuk memilih calon yang tepat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri demi memastikan masa depan kawasan tersebut terjamin.

Menerusi hantaran video di laman Facebooknya, beliau berkata UMNO/Barisan Nasional (BN) telah menawarkan calon yang komited, bersemangat dan ikhlas untuk memperjuangkan nasib rakyat di DUN Nenggiri.

“Rakyat Nenggiri, sudah tiba masanya kita bersatu hati dan memilih wakil yangmampu membawa perubahan diimpikan. Dalam PRK DUN Nenggiri ini, adalah penentu masa depan kawasan ini.

“Kami tawarkan calon nombor 2, Mohd Azmawi Fikri atau lebih mesra dikenal sebagai Awie, anak muda yang bersemangat, ikhlas dan komited untuk memperjuangkan nasib masyarakat Nenggiri,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin bahawa Azmawi mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya diberi mandat oleh rakyat di DUN Nenggiri pada Sabtu ini.

“Beliau adalah suara anak muda dan rakyat yang memahami denyut nadi kehidupan masyarakat di sini. Dengan pengalaman dan semangat juangnya, saya sangat yakin Awie mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang berkaliber, berwibawa dan akan membawa transformasi kepada DUN Nenggiri.

“Rugi kalau tak undi budok Awie ni. Jadi, pada hari mengundi nanti, pastikan undi anda untuk Azmawi Fikri, calon nombor 2 – BN!” katanya lagi.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon UMNO/BN dan Pas.

UMNO/BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala pencabarnya daripada Pas merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail.

PRK berkenaan diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, berikutan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh PPBM pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit