Mohamad Hasan Kesal Ada Lagi Kempen Guna Agama… Janganlah Sampai Begitu Sekali

GUA MUSANG, 16 Ogos – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang masih memainkan sentimen agama dalam usaha menarik sokongan masyarakat.

Bagi beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO, langkah sebaiknya adalah berpolitik secara sihat dan masing-masing menawarkan apa yang akan dilakukan untuk masyarakat setempat.

“Saya kesal… masih lagi ada pihak-pihak yang memainkan soal ini. Saya ini bersyahadah, saya pun mengerjakan solat, saya pun berpuasa, saya bayar zakat dan saya juga telah menunaikan fardhu haji. Janganlah kita kata bahawa siapa yang nak masuk syurga ikut kami… itu tak betul.

“Kita jangan terus-menerus menggunakan agama. Kita nak berkempen, kita berkempen di atas apa yang boleh kita buat. Masuk syurga, tak masuk syurga itu kuncinya Allah Ta’ala yang pegang dan Allah Ta’ala punya ketentuan.

“Jadi janganlah kata kalau ikut kami dah dijamin masuk syurga. Maknanya saya ni, kita ni semua tak masuk syurga. Malanglah orang tempat lain, ulama’-ulama’ luar negara yang tak ada parti tersebut tak dapatlah masuk syurga tempatnya kerana parti itu cuma ada di Malaysia. Jadi janganlah sampai begitu,” katanya di sini hari ini.

Mohamad seterusnya menambah dalam tempoh berkempen yang dibenarkan, masing-masing boleh menyatakan tawaran dan jika keadaan sebegitu berterusan ianya umpama toksid.

“Sekarang kita dalam berkempen, berkempen secara sihat. Kita beritahu rakyat, beritahu pengundi bagaimana kita mahu selesaikan masalah… bagaimana kita nak bawa supaya rakyat hari ini ada peningkatan semasa kita mentadbir.

“Jadi itu cara yang baik, politik ini dah terlampau toksik jadinya di Malaysia. Fitnah-memfitnah, caci-mecaci.  Saya rasa kita kena ubah balik dan kita kena balik ke pangkal jalan. Kita berpolitik politik secara sihat, politik membina, politik membangun agar yang akan mendapat manfaatnya nanti ialah rakyat.

“Kita dah berlumba-lumba nak menjadi wakil kepada rakyat parti yang akan membawa mandat rakyat, jadi kita beritahu rakyat apa yang kita lakukan agar rakyat akhirnya nanti akan mendapat manfaat daripada kekuatan parti kita sendiri, insya-Allah,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit