Wanita UMNO Sedia Warnai PAU 2024 Dengan Pelbagai Aktiviti – Rosni

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Wanita UMNO sudah bersedia untuk mewarnai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dengan pelbagai aktiviti seperti pameran, kursus dan sebagainya.

Setiausaha Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar berkata, Kursus Pentadbiran Wanita Luar Biasa akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos sebagai pembuka kepada PAU 2024 yang bakal bermula pada 21 Ogos kelak.

“Wanita UMNO telah bersedia terutama sekali untuk ‘wave’ menjelang PAU, Kursus Pentadbiran Wanita Luar Biasa akan diadakan pada 19 dan 20 Ogos di Ampang. Kita akan menjemput pemimpin-pemimpin hebat kita dan program tersebut akan ditutup oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

“Kita adakan pengisian ketahanan mental dan fizikal di samping taklimat tentang strategi pilihan raya terbaru serta bagaimana untuk menghadapi pilihan raya akan datang. Ini kerana keadaan sudah berubah maka gerak kerja Wanita UMNO untuk menghadapi pilihan raya juga berlainan. Itu antaranya.

“Pada malam 20 Ogos itu akan diadakan majlis bacaan yasin dan tahlil perdana untuk kita hadiahkan kepada pejuang-pejuang terutama dari Wanita UMNO yang telah pergi meninggalkan kita,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, Wanita UMNO akan mewujudkan ‘pavilion’ mereka sendiri di aras dua yang akan menempatkan pelbagai pameran di reruai yang telah ditetapkan.

“Pada 21 Ogos pula kita akan ada pendaftaran manakala pada malamnya adalah Perasmian Persidangan Sayap PAU dan sebagainya. Wanita UMNO akan mengadakan ‘pavilion’ sendiri di aras dua. Di situ, kita akan adakan pelbagai pameran terutamanya dari Sekretariat Ekonomi yang akan mempamerkan kraf tangan daripada seluruh negara.

“Bukan setakat itu sahaja, golongan orang kelainan upaya (OKU) juga akan menyertai pameran ini. Kehebatan mereka akan dibentangkan oleh Ketua Wanita UMNO merangkap Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. Kita juga akan ada ‘talk show’ oleh Penerangan Wanita UMNO berhadapan Riverside dan juga daripada Sekretariat Wanita Profesional.

“Akan diadakan juga pameran Skuad Sayang 3K… kita buat pemeriksaan kesihatan secara percuma dan sebagainya. Itulah secara rutin dan kita buat penambahbaikan pada tahun ini. Kita alu-alukan semua pengunjung datang ke ‘pavilion Wanita’. Insya-Allah ada pelbagai aktiviti dan pameran untuk kita tatapi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa Wanita UMNO amat menunggu PAU diadakan dan semangat perjuangan mereka tidak pernah luntur terhadap parti.

“Kita (Wanita UMNO) memang menunggu saat-saat untuk PAU ini kerana kita nak dengar ucapan dasar Ketua Wanita UMNO dan ia akan dibahaskan oleh juru cakap dari seluruh negara yang telah bersedia untuk usul ekonomi, politik, pendidikan, agama serta sosial. Kita telah lihat bagaimana isu ini akan digarap dengan begitu baik supaya diterjemahkan dalam perbahasan mereka. Ini yang kita nak lihat.

“Bukan itu sahaja, kita nak dengar ucapan Presiden, Timbalan Presiden parti dan perbahasan yang dilakukan oleh peringkat PAU. Inilah saat yang semua ahli UMNO tunggu. Menyertai PAU adalah satu kebanggaan kepada mereka semua.

“Semangat Wanita UMNO tidak pernah padam. Kita lihat sahaja di Nenggiri sekarang ini. Ada yang demam tetapi bertahan di sana kerana kita nak menang pilihan raya. Wanita UMNO bukan sebagai pelancong pilihan raya. Kita menetap di sana dan buat kerja,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mengalu-alukan kehadiran semua perwakilan terutamanya Wanita UMNO dari seluruh negara untuk memeriahkan lagi PAU 2024 ini.

“Semangat ini bukan bermula sekarang tetapi dari dulu, kini dan selamanya Insya-Allah. Kita Wanita UMNO setia kepada parti. Sebab itu apabila PAU, satu perhimpunan yang ditunggu-tunggu… walaupun kita nampak ‘rally’ yang berpanjangan, dari 3 Ogos penamaan calon (PRK Nenggiri) sehingga 24 Ogos (PAU)… tetapi jiwa dan semangat kami tetap kental demi parti.

“Kita tahu UMNO adalah parti yang memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air. Inilah harapan saya selaku Setiausaha Wanita UMNO, kita jemput Wanita UMNO dari seluruh negara, silalah hadir mendengar perbahasan. Kalau tidak di dalam, kita boleh dengar di luar dewan. Itu sudah memadai untuk menghayati perjuangan parti. Selamat berjuang dan kita jumpa di PAU nanti,” katanya lagi.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit