Teruskan Gerak Kerja, Pengundi Muda Menjadi Fokus UMNO Putatan – Jeffery Nor

PUTATAN, 15 Ogos – Kepelbagaian demografi di kalangan pengundi akan terus diberikan tumpuan oleh UMNO Bahagian Putatan dalam usaha mendekati pelbagai kelompok terutama orang muda dan undi automatik 18 tahun bagi memastikan mereka terus bersama dengan parti berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berkata tumpuan utama sudah pasti kepada ahli parti berkenaan dan seterusnya kepada golongan muda yang berada di luar sana dengan mengambil kira kehendak serta keperluan semasa dalam mendekati golongan tersebut.

Menurut beliau tidak semua golongan belia berminat dengan politik, bagaimanapun sekiranya ada pendekatan yang sesuai selari dengan aspirasi mereka ia akan menjadi daya penarik untuk mereka menyertai perjuangan UMNO.

“Salah satu demografi yang penting dalam negara kita ini ialah undi muda dan juga undi 18 iaitu undi automatik mereka yang berumur 18 tahun.

“Justeru, ini merupakan fokus kita dengan melihat kepada idea-idea serta pelaksanaan terkini bagi mendekati golongan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pertandingan Mobile Legend anjuran bersama belia Kampung Meruntum dan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Meruntum di sini, baru-baru ini.

Menurut Jeffery yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah, ada dua jenis demografi penting untuk UMNO yang perlu disentuh iaitu keahlian UMNO yang sedia ada dan juga secara keseluruhannya rakyat Malaysia yang umur ataupun masih dikategori sebagai muda.

Sehubungan itu, Jeffery meminta Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO khususnya di Bahagian Putatan agar melipat gandakan usaha menganjurkan program-program berkaitan belia bagi menjadi wadah untuk parti mendekati golongan ini dan menyampaikan maklumat berhubung dasar serta perjuangan UMNO.

“Banyak kaedah boleh digunakan selain penggunaan platform digital, kepelbagaian pendekatan lain akan turut digunakan termasuklah program-program tradisi yang akan diteruskan sebaik mungkin.

“Seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan penggunaan platform digital untuk mendekatkan diri dengan golongan ini, kita juga akan teruskan dengan program-program tradisi iaitu untuk mendekatkan diri dengan kumpulan-kumpulan anak-anak muda di kampung-kampung yang memerlukan pembelaan,” katanya.

Tambah beliau, selain belia dan pelajar-pelajar universiti juga, UMNO khususnya melalui Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO akan mendekatkan diri dengan golongan ini.

“Jadi ada dua tiga jenis pendekatan termasuk pendekatan melalui digital dan teknologi digital untuk kita mendekatkan diri dengan mereka supaya usaha ini dapat dilihat untuk mengenali apa masalah yang dihadapi mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.