Suhaimi Bidas Dakwaan Berjaya Hapus Kemiskinan Tegar Di Sabah, Jangan Hanya Retorik Atas Kertas

KOTA KINABALU, 15 Ogos – UMNO Sabah meragui kenyataan yang mendakwa telah berjaya mencapai sasaran untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negeri terbabit pada Julai tahun ini.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, kenyataan ini meragukan kerana rakyat ingin tahu dari manakah dapatan data tersebut memandangkan penduduk di lapan daerah yang dikategorikan termiskin di Sabah masih bergelut dengan kemiskinan.

“Ini tidak termasuk di lain-lain daerah yang tidak disenaraikan tapi ada rakyat yang terlepas pandang dan berada di garis kemiskinan tegar… jadi bila melihat pengumuman seperti ini memang agak luar biasa pencapaiannya.

“Apa yang kita bimbangkan ianya sekadar retorik di atas kertas sahaja bagi menyedapkan mata dan telinga rakyat mendengar sedangkan realitinya jauh berbeza,” katanya.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS ekoran baru-baru ini mengumumkan kerajaan sudah berjaya menghapuskan kemiskinan tegar di negeri terbabit.

Sehubungan itu Suhaimi menegaskan bahawa setiap kenyataan perlulah disokong dengan data yang tepat dan ditunjukan kepada umum untuk memberikan keyakinan kepada rakyat Sabah.

Tambah beliau, jika kenyataan ini benar berdasarkan kepada data yang sebenarnya, rakyat di negeri ini sudah pasti kagum dengan pencapaian drastik kerajaan negeri kerana dalam tempoh yang singkat dapat mengeluarkan rakyatnya dari garis kemiskinan tegar.

“Jika isu kemiskinan sudah diselesaikan, satu lagi harapan rakyat ialah kerajaan juga perlu mengambil tindakan drastik dalam menyelesaikan masalah infrastruktur asas bekalan air bersih, sistem perhubungan jalan raya, bekalan air elektrik dan pengangguran di negeri ini,” katanya.

Suhaimi berkata penyelesaian secara total kepada isu-isu prasarana asas perlu diselesaikan segera.

“Ini kerana ianya juga berhubungan kait dengan kepentingan rakyat yang mengharapkan mereka dapat menikmati kemudahan asas jalan raya, air dan elektrik yang lengkap bagi memudahkan mereka berniaga atau memasarkan hasil pertanian malah ini juga dapat membantu mereka mengeluarkan diri dari garis kemiskinan tegar,” tambah Suhaimi lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.