PRK Nenggiri: Tingkatkan Momentum, Terus Santuni Pengundi – Mohamad Hasan

GUA MUSANG, 15 Ogos – Seluruh jentera parti pelbagai peringkat diharap dapat terus meningkatkan momentum sehingga hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Sabtu ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata saat-saat akhir kempen pilihan raya adalah satu masa yang amat penting buat seluruh jentera parti.

Menurut beliau semestinya dalam mana-mana pilihan raya, pilihan raya umum, pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil di Nenggiri, kekuatan jentera parti pelbagai peringkat amat penting.

“Kejayaan dalam sesuatu pilihan raya itu banyak bergantung kepada keberkesanan gerak kerja jentera. Setakat hari ini saya berpuas hati laporan-laporan yang saya tengok. Jentera parti tempatan iaitu daripada bahagian UMNO, juga rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan banyak membantu dan ditambah nilai, ditambah juga gerak kerja ini oleh bapa-bapa angkat daripada UMNO.

“Macam di Limau Kasturi ini bapa angkatnya Negeri Sembilan, Jadi kami datang membantu. Saya walaupun tak dapat lama di sini pada awalnya tempoh hari saya ada di luar negara menghadiri mesyuarat tergempar OIC.

“Lepas itu mesyuarat bilateral dengan Brunei, dengan Thailand. Tapi saya akan berada di sini sehingga petang besok untuk membantu gerak kerja parti,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau bersama jentera setempat di PDM Limau Kasturi bertemu mata dengan masyarakat di kawasan berkenaan.

Mohamad seterusnya menambah kempen kecil-kecilan dilihat lebih berkesan dalam usaha menyantuni serta meyakini pengundi untuk memilih calon BN, Mohd Azmawi Fikri atau lebih dikenai Awie.

“Ini kita lakukan kerana pengundi-pengundi akan merasa selesa jika gerak kerja jentera parti dapat menemui mereka seramai mungkin.

“Ini lebih berkesan daripada kita mengadakan program besar-besar… orang datang makan tak dengar pun apa yang kita cakap, mereka berbual di belakang. Tetapi bila kita pergi rumah ke rumah, kita dapat berjumpa sendiri dan bertanya khabar. Ini lebih berkesan.”

Justeru beliau berharap dalam masa dua hari terakhir ini gerak kerja kempen akan terus ditingkatkan.

“Hari ini dan besok, hari Sabtu dah tak boleh dah. Semua jentera parti BN, khususnya UMNO dan juga bapa-bapa angkat membantu jentera tempatan untuk kita menyantuni seramai mungkin pengundi dalam kawasan jentera masing-masing.

“Insya-Allah sama-sama kita terus berusaha dan mendoakan kejayaan calon kita, Awie pada Sabtu ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit