Pengundi Nenggiri Beri Sokongan Padu Pada Awie – Rosnah

GUA MUSANG, 15 Ogos – Rata-rata pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini telah menyatakan keterbukaan mereka untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali sebagai ‘Awie’.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, sokongan ini mencerminkan komitmen kuat daripada BN dan Kerajaan Madani terhadap pembangunan negeri Kelantan, khususnya melalui wakil yang berperanan sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Pusat dan DUN Nenggiri.

“Rakyat Nenggiri telah meluahkan rasa teruja mereka menjelang hari pengundian yang dijadualkan pada 17 Ogos nanti. Semangat yang ditunjukkan oleh pengundi ini menggambarkan keyakinan mereka terhadap kemampuan Awie dalam memperjuangkan kepentingan penduduk setempat. Bagi mereka, Awie bukan sahaja calon yang berwibawa, tetapi juga seorang pemimpin yang dekat di hati rakyat.

“Pengundi-pengundi di Nenggiri turut menyatakan bahawa kepimpinan UMNO Bahagian Gua Musang, bersama-sama dengan Awie, sentiasa peka terhadap keperluan dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setempat. Keprihatinan yang ditunjukkan oleh Awie ini telah membina kepercayaan yang kuat dalam kalangan pengundi, menjadikan beliau calon yang sangat dihormati.

“Dalam kalangan masyarakat Nenggiri, Awie telah diberi gelaran istimewa sebagai ‘YB’ (Yang Bekerja). Gelaran ini diberikan kerana beliau sentiasa bekerja keras untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Nenggiri terjaga. Sikapnya yang sentiasa turun padang dan mendengar rintihan rakyat telah menjadikannya calon pilihan utama dalam PRK ini, ” katanya kepada UMNO Online ketika ditemui di GDW KESEDAR, Jeram Tekoh, di sini.

Mengulas lanjut, Rosnah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar, menjelaskan komitmen Awie dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat bukanlah sesuatu yang baru.

“Sejak dari awal lagi, beliau telah menunjukkan kesungguhan dalam memastikan setiap isu yang dihadapi oleh masyarakat dapat diselesaikan dengan berkesan. Hal ini menjadikan masyarakat di Nenggiri amat selesa dengan kepimpinan beliau.

“Rakyat Nenggiri tidak teragak-agak untuk memberikan sokongan penuh kepada Awie, yang memegang nombor dua di kertas undi. Mereka percaya bahawa beliau mampu membawa perubahan yang signifikan kepada kawasan ini, sekaligus meningkatkan taraf hidup penduduk setempat. Sokongan ini jelas menunjukkan bahawa Awie adalah calon yang paling sesuai untuk mewakili mereka di DUN Nenggiri,” katanya lagi.

Pada masa yang sama Rosnah turut menekankan betapa pentingnya peranan pengundi wanita dalam menentukan kepimpinan, khususnya di Nenggiri dan negeri Kelantan secara amnya.

“Wanita memainkan peranan yang cukup penting dalam proses pemilihan ini, dan mereka berpotensi menjadi ‘game changer’ dalam menentukan keputusan pilihan raya.

“Pengundi wanita mempunyai kuasa untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya dan seterusnya mencorakkan masa depan Kelantan. Wanita, haruslah diberi perhatian kerana suara mereka mampu membawa perubahan yang positif, bukan sahaja dalam tempoh terdekat ini, tetapi juga pada masa yang akan datang,” jelas beliau.

Seterusnya kata Rosnah lagi, BN dan Kerajaan Madani telah menyatakan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan nasib rakyat Kelantan melalui pelbagai inisiatif pembangunan.

“Kehadiran wakil seperti Awie di DUN Nenggiri dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan setiap program dan dasar yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Dengan sokongan yang semakin meningkat daripada pengundi di Nenggiri, peluang untuk calon BN, Awie, memenangi kerusi di DUN Nenggiri semakin cerah,” ujarnya.

Ujarnya lagi, rakyat di sini jelas percaya bahawa di bawah kepimpinan beliau, Nenggiri akan terus maju dan berkembang, sejajar dengan visi dan misi Kerajaan BN dan Kerajaan Madani. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit