PAU 2024 Jadi Medan Lahirkan Anak Muda Berketerampilan – Muhammad

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 mampu menjadi medan untuk melahirkan anak-anak muda berketerampilan dalam menyuarakan pendapat demi perjuangan agama, bangsa dan tanah air (ABaTa).

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung, Muhammad Khairi berkata, beliau melihat PAU ini sebagai medium untuk para pemimpin mendekati akar umbi dan membina hubungan baik.

“Saya sebagai akar umbi melihat PAU ini adalah sebagai medium untuk akar umbi lebih dekat dengan para pemimpin. Ia juga boleh dijadikan sebagai medium untuk para pemimpin membina perhubungan baik bersama akar umbi.

“Sebagai perhimpunan terbesar orang Melayu, PAU ini sudah semestinya akan membahaskan isu berkaitan rakyat seperti kos sara hidup, pendidikan dan sebagainya.

“Sudah semestinya melalui PAU ini, suara akar umbi yang dibawa dari peringkat bahagian dapat digunakan untuk membina dasar baharu dalam menyelesaikan segala permasalahan berkaitan rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, dalam melalui proses peremajaan parti, suara anak muda dari sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri amat diperlukan dalam usaha memulihkan semula sokongan remaja terhadap parti.

“Ketika UMNO melalui proses rejuvenasi ataupun peremajaan parti, suara anak muda amat diperlukan terutamanya untuk menarik semula sokongan mereka kepada parti.

“Saya mengharapkan UMNO akan meneruskan perjuangan dalam memartabatkan agenda Melayu-Islam. Saya juga amat mengharapkan PAU ini mampu menjadi medan untuk melahirkan anak-anak muda berketerampilan bagi menyuarakan pandangan demi perjuangan ABaTa,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan selamat bersidang kepada semua perwakilan yang bakal menghadirkan diri ke PAU 2024 kelak.

“Kepada ayahanda, bonda, kakanda dan seluruh perwakilan PAU dari seluruh negara, saya ucapkan selamat bersidang dan gunakanlah ruang serta peluang ini untuk terus menyuburkan semangat perjuangan parti,” katanya lagi.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.