PAU 2024: Abdul Fattah Alu Kehadiran Perwakilan, Harap Persidangan Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Timbalan Pengerusi Tetap, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah mengalu-alukan kehadiran para perwakilan yang bakal menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 dan berharap agar persidangan tersebut berjalan dengan lancar.

Ujarnya, beliau mengharapkan jurucakap dari setiap sayap dan negeri membuat kajian mengenai isu-isu yang ingin dibangkitkan agar ia dapat diberi perhatian seterusnya diangkat sebagai dasar.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengalu-alukan kehadiran perwakilan yang akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula pada 21 hingga 24 Ogos.

“Jadi, saya mempunyai keyakinan kepada mereka yang khususnya akan menjadi perwakilan… terutama sekali yang diberi tanggungjawab sebagai juru cakap untuk buat kajian supaya isu-isu yang dibangkitkan itu menepati keadaan semasa, berdasarkan maklum balas daripada rakyat agar Presiden parti memberi perhatian untuk diangkat sebagai wakil parti yang ada dalam kerajaan hari ini.

“Saya percaya semua bahagian telah pun bersidang dan hasil daripada apa yang dibawa itu insya-Allah akan diangkat ke peringkat atas iaitu peringkat PAU,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar para perwakilan dapat mengikuti segala undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan, disusuli dengan ketertiban dan kesempurnaan.

“Saya bersama Pengerusi Tetap, Tan Sri Badruddin berharap supaya persidangan ini dapat berjalan dengan lancar, sempurna, tidak ada masalah. Apa yang paling penting kita boleh ‘deliver’ ataupun menghasilkan sesuatu dapat dilihat oleh rakyat Malaysia menaruh harapan kepada UMNO sebagai tunggak dalam kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Kepada perwakilan, saya berharap supaya mereka ini faham kita ada peraturan, undang-undang, menunjukkan ketertiban dan kesempurnaan supaya persidangan dapat berjalan dengan baik.

“Saya mengalu-alukan dan mengucapkan selamat datang kepada para perwakilan dari seluruh negara yang akan berhimpun di Dewan Merdeka yang akan bermula pada 21 sehingga 24 Ogos. Selamat datang ke PAU,” katanya lagi.

Untuk rekod, mesyuarat UMNO untuk cawangan-cawangan di seluruh negara telah dilaksanakan pada 22 April sehingga 2 Jun lalu.

Mesyuarat UMNO untuk 191 bahagian di seluruh negara pula telah berlangsung pada 21 Jun dan melabuhkan tiranya pada 29 Julai lalu dengan jayanya.

PAU 2024 akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024, menghimpunkan seluruh pemimpin di peringkat pusat dan bahagian dalam usaha untuk memperkukuh parti di persada politik negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit