Awie Mampu Bawa Perubahan, Rakyat Nenggiri Jangan Termakan Propaganda Burukkan BN – Jeffery Nor

GUA MUSANG, 15 Ogos – Hanya beberapa jam lagi tempoh kempen berakhir, Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed berharap pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri terus beri sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atau lebih dikenali ‘budak Awie’.

Ini kerana katanya, hanya BN yang mampu membawa transformasi perubahan di DUN ini mahupun Negeri Kelantan.

“Harapan kami yang datang dari jauh (Sabah) untuk melihat pengundi di sini memberikan sokongan yang terbaik kepada ‘budak Awie’ calon BN sebagai satu manifestasi perubahan di Negeri Kelantan. Ini agar DUN-DUN lain ataupun Parlimen-Parlimen lain di dalam Kelantan ini juga dapat melakukan perubahan.

“Nenggiri ini boleh menjadi batu loncatan sebagai penunjuk aras iaitu sekiranya ada berlaku perubahan sudah tentu akan menjadi permulaan perubahan besar kepada negeri Kelantan. Di sini dipanggil ‘budak Awie’ boleh menjadi batu loncatan supaya masalah infrastrukturnya dapat diatasi.  

“Saya melihat infrastrukturnya agak sedikit merundum ke bawah, saya fikir di Sabah saja rupanya di negeri ini pun keadaan infrastrukturnya agak sedikit bermasalah. Sudah tentu pilihan rakyat di Nenggiri ini ialah memberikan sokongan kepada calon BN pada 17 Ogos nanti, ” katanya ketika ditemui UMNO Online, di kawasan kempen pilihan raya.

Pada masa yang sama Jeffery Nor yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah menasihati pengundi Nenggiri agar jangan termakan propaganda dan fitnah pihak lawan memburukkan BN pada saat-saat akhir kempen.

“Rakyat DUN Nenggiri harus abaikan propaganda, fitnah peribadi ataupun segala-galanya, saya melihat Awie ini daripada keseluruhan bahawa beliau tidak ada masalah. Dia calon yang bersih, calon yang tidak menghadapi apa-apa masalah.

“Jika berlaku propaganda ataupun fitnah daripada pihak sebelah, nasihat saya pada seluruh pengundi, inilah cara kempen mereka selama ini iaitu fitnah itu menjadi undi simpati kepada mereka.

“Pengundi Nenggiri mesti bersikap matang untuk memilih ‘budak Awie’. Ini adalah potensi calon ‘Yang Berhormat’ dan ‘Yang Berkhidmat’ kepada masyarakat di sini,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon BN, Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.