UMNO Zahirkan Komitmen Perkasa TVET, Peluang Kerjaya Dan Pendidikan Di PAU 2024 – SUA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada kali ini akan menyaksikan penganjuran Program Eksplorasi Kerjaya dan Pendidikan TVET daripada 23 hingga 25 Ogos.

Menurut beliau program julung kali diadakan ini bagi menzahirkan komitmen UMNO sebagai parti yang mempelopori agenda TVET negara sebagaimana yang telah dizahirkan Presiden UMNO selaku Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dasar TVET ini amat mustahak untuk kita war-warkan secara besar-besaran kerana ia merupakan satu agenda penting untuk anak-anak muda dan untuk memastikan tidak ada seorang pun yang terpinggir dan tercicir daripada arus pendidikan perdana.

“… yang mana setiap manusia ini ada potensinya dan kita nak war-warkan bahawa di bawah Majlis TVET negara ini ada 1,345 institusi pendidikan TVET yang dikawal selia dan diselaraskan oleh Majlis TVET negara yang dipengerusikan Presiden UMNO.

“Ia menawarkan tidak kurang daripada 250,000 peluang-peluang pendidikan dalam lebih 4,000 bidang-bidang TVET, jadi sepanjang tiga hari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas tamatnya persidangan perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri dua dewan besar iaitu Dewan Tun Hussein dan Dewan Tun Dr Ismail akan dijadikan Karnival Eksplorasi Kerjaya Dan Pendidikan TVET,” katanya katanya ketika sidang media khas sempena PAU 2024.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata program ini akan memfokuskan kepada empat elemen utama termasuk pameran, teknologi dan kerjaya juga peluang-peluang pendidikan TVET kepada anak-anak muda.

Malah katanya ia turut menyaksikan pameran kisah kejayaan ikon TVET, talk show ikon TVET dan juga konsultansi percuma berkenaan dengan latihan-latihan yang boleh dicemburi oleh pelbagai kelompok masyarakat serta peluang-peluang kerjaya yang mempunyai nilai keboleh pasaran yang tinggi dalam konteks ekonomi.

“Kita akan ada pameran yang meliputi sembilan sektor termasuk kluster teknologi automotif, kluster teknologi penerbangan, teknologi maklumat, teknologi pembuatan termaju, teknologi rail, teknologi perladangan modern, teknologi pertanian dan penternakan, teknologi pembinaan dan perkhidmatan.

“Jadi kali ini PAU bukan sahaja bersifat eksklusif kepada keluarga besar UMNO sahaja tetapi dengan mengalu-alukan anak-anak muda terutamanya yang berminat untuk masuk dalam bidang TVET ini sama ada dari segi latihan mahupun melihat peluang-peluang kerjaya melalui sembilan kluster tersebut.

“Boleh hadir beramai-ramai sepanjang PAU ini dan tamat pada hari Ahad sehari selepas PAU selesai,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.