Tuduh UMNO/BN Macam-macam… Mereka Cari ‘Kebahagiaan’ Tersendiri – Rosnah

GUA MUSANG, 14 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirleen membidas tindakan sesetengah bekas pimpinan parti itu yang dianggap cuba mencari ‘kebahagiaan’ tersendiri.

Bagi beliau tindakan melontarkan pelbagai tohmahan terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN) hanya sekadar bahan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

“Sebenarnya mereka yang tersasar dan berhentilah menjadi penghasut kerana masing-masing telah berada dalam keadaan yang cukup istimewa semasa berada di dalam UMNO dan tindakan sedemikian sesuatu perkara yang cukup memalukan.

“Orang Nenggiri hanya mahu memilih wakil rakyat mereka… janganlah amal politik lempar batu sembunyi tangan dan menghasut.

“Pada saya, janganlah termakan hasutan yang dilontarkan dan mereka ini adalah mereka di kalangan orang yang tidak bahagia dan sedang mencari ‘kebahagiaan’ mereka sendiri,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi biarlah mereka dengan dunia mereka dan pengundi di Nenggiri seharusnya memilih calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai wakil rakyat yang berkhidmat untuk masyarakat setempat.

“Kita ‘move on’ ke hadapan, kerana rakyat Nenggiri harus mengambil keputusan untuk memastikan Kelantan umumnya tidak keluar dari radar pembangunan.

“Jadi penting untuk kita menabalkan Awie sebagai wakil rakyat supaya beliau boleh menjadi jambatan yang sebaiknya antara Nenggiri dan kerajaan pusat,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit